MCA perlu mengubah ideologi politik parti berkenaan dengan menjadi sebuah parti pelbagai kaum atau bergabung dengan parti 'multiracial' sedia ada seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Gerakan untuk kekal relevan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

MCA perlu mengubah ideologi politik parti berkenaan dengan menjadi sebuah parti pelbagai kaum atau bergabung dengan parti 'multiracial' sedia ada seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Gerakan untuk kekal relevan dalam politik negara.

Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, kemungkinan MCA bakal terpinggir daripada berperanan membantu koalisi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak sudah tidak dapat dielakkan susulan pengaruh parti berkenaan yang semakin merosot sejak Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008.

Ujarnya, pendekatan MCA yang bersifat mono etnik dan tidak terbuka kepada idea politik pelbagai kaum turut menjadi penyumbang besar faktor masyarakat Cina di negara ini semakin menyisihkan parti berkenaan.

"Landskap politik masyarakat Cina pada masa kini adalah berbeza dengan masyarakat Melayu di mana golongan kaum itu sudah tidak tertarik dengan idea politik bersifat perkauman dan chauvinis, sebaliknya lebih cenderung menyokong parti menekankan aspek kepelbagaian kaum, tadbir urus berintegriti serta pro pembangunan bersifat kapitalis.

"Sebab itu, kelompok pengundi Cina yang majoritinya di kawasan bandar tidak bermasalah mengundi calon Melayu atau India daripada parti-parti pelbagai kaum seperti DAP dan PKR kerana mereka tidak lagi melihat isu kecinaan sebagai subjek utama.

"Hal ini berbeza dengan pengundi Melayu sama ada di kawasan bandar atau separa bandar yang masih bersifat konservatif dan cenderung memilih calon berasaskan faktor etnik dan agama," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada pengaruh MCA semakin terhakis susulan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan masih tiada keputusan muktamad daripada pucuk kepimpinan BN-PH dalam memperuntukkan sebarang kerusi pilihan raya kepada MCA pada PRN enam negeri kelak.

Jelas Ka Siong, beliau tiada sebarang perkara baharu untuk diulas memandangkan tidak dipanggil dan diminta hadir dalam mana-mana mesyuarat khas membincangkan pembahagian kerusi pilihan raya di antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

MCA perlu menyedari pengaruh parti itu di dalam koalisi Kerajaan Perpaduan mungkin semakin terhakis jika parti itu tidak berevolusi.

Mengulas lanjut, Asri menegaskan MCA sebagai parti komponen kecil di dalam koalisi BN perlu menerima hakikat peluang parti itu akan diberikan sebarang kerusi pilihan raya pada PRN enam negeri amat tipis.

Dengan strategi perbincangan kerusi pilihan raya di antara BN-PH amat berbeza dengan pendekatan diguna pakai Majlis Tertinggi BN susulan perbincangan adalah di antara parti koalisi dengan parti koalisi, beliau melihat asas rundingan berkenaan masih bersifat pengekalan status quo kepada parti-parti yang menang pada PRU terdahulu.

"Ini kerana mereka sendiri berdepan cabaran mengembalikan sokongan pengundi Melayu pasca PRU15 yang semakin berpaling kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN). Justeru, sekiranya MCA tidak berubah ideologi politik atau bergabung dengan parti pelbagai kaum lain, parti itu sukar mendapat tempat dalam gabungan Kerajaan Perpaduan didominasi DAP-PKR-UMNO," ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie menyanggah pandangan parti itu sudah semakin terpinggir di mata pengundi bukan Melayu di negara ini.

Menegaskan MCA masih berupaya menarik sokongan pengundi luar bandar, Ketua Wanita MCA Perak itu turut berpendapat parti berkenaan wajar diberikan kerusi pilihan raya bagi setiap negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN).

"MCA sentiasa menghormati semangat perpaduan dalam BN dan roh permuafakatan yang wujud di antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Atas semangat kerjasama dan setiakawan itulah, MCA akan akur sekiranya tidak diberikan sebarang kerusi bertanding pada PRN enam negeri.

Itu pun hanya sekiranya keputusan berkenaan dianggap strategi terbaik untuk kemenangan koalisi BN-PH sertai dimuktamadkan secara bersama dalam Dewan Tertinggi BN.

"Bagaimanapun, saya secara peribadi masih berharap MCA mahu pun MIC diberikan kerusi bertanding tanpa mengambil kira jumlahnya di setiap negeri kerana ia adalah simbolik penghormatan dan penghargaan PH terhadap parti-parti yang menjayakan Kerajaan Perpaduan," jelas bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Malaysia berkenaan.

Seai Kie turut berharap sesi rundingan kerusi pilihan raya di antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak berasaskan prinsip status quo kerana parti-parti dalam koalisi mega baharu ini perlu menerapkan sifat semangat berpasukan, bertimbang rasa dan berbudi kepada rakan koalisi baharu.

"Tidak boleh kata MCA dan MIC kalah banyak kerusi PRU terdahulu, kami akan terus kalah pada PRN enam negeri kerana kita tahu setiap pilihan raya akan ada perubahan trend mengundi.

"Saya fikir semua parti terlibat dalam Kerajaan Perpaduan perlu diberikan peranan pada PRN enam negeri kerana asas pengekalan keharmonian gabungan baharu ini hanya boleh berlaku jika semua pihak ada sifat saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon secara ringkas menegaskan pintu rundingan untuk MCA mendapat kerusi bertanding pada PRN enam negeri masih belum tertutup.

"Dengan perwakilan MCA terlibat dalam jawatankuasa perundingan kerusi pilihan raya di antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, segalanya masih berkemungkinan. Yang pasti ia perlu dibincangkan secara blok dan bukan membabitkan individu tertentu," tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca