BROWNSVILLE - Dasling Sanchez duduk berehat beralaskan sekeping kadbod bersama dua anaknya di sebuah kawasan berhampiran pam minyak di Brownsville, Texas.
Bandar sempadan Amerika Syarikat (AS) - Mexico itu kini sesak dengan ratusan migran yang cuba memasuki negara Uncle Sam itu sebelum sekatan imigresen berakhir.
Bermula Khamis, pentadbiran Presiden Joe Biden akan menarik semula protokol ketat digelar Title 42 yang dilaksanakan kepimpinan pendahulunya, Donald Trump bagi menyekat kemasukan golongan migran termasuk pemohon suaka ketika pandemik Covid-19.
Seperti migran lain, Sanchez juga percaya perubahan peraturan itu akan menyukarkan lagi mereka untuk memasuki AS.
"Kami sangat bimbang kerana pihak berkuasa tidak lagi akan membenarkan lagi kami melintasi sempadan selepas tarikh 11 Mei,” kata warga Venezuela berusia 28 tahun itu yang sebelum ini dari seberang Matamoros, Mexico.
Di bawah langkah tegas itu, pentadbiran Biden merancang untuk mengawal dan menghalang kemasukan migran tanpa dokumen sah.
Peraturan baharu itu juga membolehkan Washington mengusir pemohon suaka yang tidak mendapatkan perlindungan di salah sebuah negara yang dilalui mereka.
"Saya paling takut jika Title 42 ditarik balik kerana AS boleh menghantar pulang mana-mana migran serta-merta,” ujar seorang lagi migran dari Venezuela, Leandro Ruiz, 28.
Ketika ini, Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) mengangkut ratusan migran ke Brownsville pada setiap hari.
Sukarelawan badan amal, Team Brownsville, Mayra Paredes memberitahu jumlah migran yang mendapat bantuan mereka telah meningkat secara purata daripada 100 orang sehari pada awal tahun lalu kepada 700 hingga 1,000 orang sehari sejak dua minggu lalu.
Kebanyakannya terdiri daripada warga Venezuela, Colombia, negara Amerika Tengah dan rakyat Asia.
Situasi sama juga dapat dilihat di sebuah lagi bandar sempadan AS di El Paso.
Sebahagian besar daripada mereka sanggup melakukan perjalanan yang berbahaya termasuk meredah hutan tebal semata-mata mahu ke AS bagi memulakan kehidupan baharu.
Baru-baru ini, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas yang melawat kawasan sempadan negara itu juga mengakui keadaan semakin sukar.
Pentadbiran Biden yang khuatir dengan kebanjiran migran yang cuba merentasi sempadan bertindak mengerahkan pasukan keselamatan sokongan ke lokasi itu termasuk 1,500 anggota tentera dan kakitangan serta hakim tambahan di Mahkamah Imigresen AS. - AFP
Perbezaan Title 42 & Title 8
- Title 42 adalah sebahagian daripada undang-undang kesihatan awam 1944 yang membenarkan pemerintah untuk menangguhkan perjalanan masuk dari negara lain bagi mencegah penyebaran penyakit.
- Pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump yang sememangnya 'antimigran' cuba mengawal kemasukan pendatang haram di selatan negara itu mengambil peluang daripada pandemik Covid-19 untuk menggunapakai Title 42.
- Title 42 memberi kuasa kepada pihak berkuasa sempadan untuk mengusir semula pendatang ke negara asal mereka. Tiada hukuman tegas untuk kesalahan berulang melintasi sempadan secara haram.
- Pentadbiran Biden yang mengambil alih Rumah Putih pada Januari 2021 kemudiannya digesa untuk melonggarkan atau menarik balik Title 42 setelah pemerintah melaksanakan program vaksinasi Covid-19 secara meluas.
- Biden tidak mengendahkan gesaan banyak pihak. Pengawal sempadan berjaya mengusir kira-kira 200,000 pendatang yang cuba merentasi sempadan pada setiap bulan.
- Keputusan untuk menarik balik status kecemasan kesihatan awam berkaitan Covid-19 berkuat kuasa 11 Mei menyebabkan pentadbiran Biden tidak lagi boleh menggunapakai Title 42 ke atas golongan pelarian, pemohon suaka dan migran.
- Oleh itu, Biden merancang untuk melaksanakan gabungan insentif dan hukuman bagi menyekat kemasukan golongan itu selepas tarikh 11 Mei dengan melaksanakan undang-undang berbeza digelar Title 8.
- Title 8 membenarkan pengusiran segera individu tanpa dokumen sah yang melanggar undang-undang AS untuk memasuki negara itu. Pendatang yang diusir boleh berdepan tindakan lebih tegas.
- Pelaksanaannya diharap dapat menggalakkan golongan itu membuat permohonan secara rasmi memandangkan pihak berkuasa telah mereka aplikasi telefon pintar untuk membuat janji temu. Selain itu, Jabatan Negara AS juga mengumumkan penubuhan pusat pemprosesan migrasi antarabangsa di Colombia dan Guatemala. Tetapi, tiada jaminan inisiatif itu akan mengurangkan kebanjiran pendatang haram ke Washington.
Klik di sini untuk terus membaca