Dari sebuah desa
Berbekal gitar tua
Datang ke ibu kota
Dengan penuh harapan
Menjadi seorang biduan...
WAKTU lagu Kisah Seorang Biduan, nyanyian Dahlan Zainuddin (Allahyarham) itu menjadi fenomena menjelang akhir 1970-an, saya masih belum akil baligh.
Tetapi pada usia itu lirik lagu tersebut saya telah hafal dan saya selalu menyanyikannya bersendirian – semakin jauh dari orang, semakin kuat.
Sehingga sekarang saya sukakan lagu itu. Ia satu pengisahan jujur tentang bagaimana anak-anak seni daripada kalangan marhaen mengejar cita-cita mereka pada masa itu. Ia tidak mudah.
Saya tidak melaluinya, tetapi saya mempunyai ramai teman-teman rapat yang pernah menempuh pengalaman itu, dan sebahagian daripada mereka kini menjadi seniman besar.
Penghijrahan anak-anak seni ke kota besar berlaku sejak era sebelum Perang Dunia Kedua tetapi kemuncaknya bermula selepas perang, dengan Singapura menjadi kota pilihan utama kerana di situlah berpusatnya pelbagai aktiviti seni.
Dari proses itulah lahirnya nama-nama besar seperti Allahyarham P Ramlee dan Allahyarham Nordin Ahmad dari Pulau Pinang, Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud dari Negeri Sembilan, Allahyarham Datuk Mahmud June dari Kedah, Allahyarham R Azmi dari Perak, Allahyarham Datuk Ahmad Jais dari Selangor dan ramai lagi yang menjadi legenda dalam cabang seni masing-masing.
Apabila Singapura mula hilang tarikannya pada pertengahan 1960-an, termasuk disebabkan penyingkirannya dari Malaysia, tumpuan beralih pula ke Kuala Lumpur.
Kota yang bukan dibuka oleh Yap Ah Loy itu menjadi magnet baharu, menarik pendatang dari segenap pelosok tanah air untuk mengadu untung.
Dalam kalangan mereka inilah terselitnya anak-anak seni yang yakin bakatnya boleh dikembangkan di kota besar itu. Bagi yang datang dari kalangan keluarga tahap awan sirus ke atas mungkin tidak ada masalah.
Mereka cukup duit untuk tinggal di hotel selama berminggu-minggu, atau setidak-tidaknya di rumah saudara-mara, sementara menanti peluang menguji atau mempamerkan bakat.
Mereka juga mungkin mempunyai kabel dan wayar yang boleh membantu mempercepatkan perjalanan seninya.
Tetapi berapa keratkah yang bernasib baik begitu? Saya jarang mendengar kisah mereka. Yang sering didengar adalah anak-anak kampung yang serba kurang, yang terpaksa menjual telur itik dan ayam kampung dua tiga ekor untuk dijadikan modal merantau ke Kuala Lumpur. Malah seorang kawan bercerita, dia terpaksa mencuri getah sekerap emak saudaranya bagi tujuan yang sama.
"Masa tu aku berniat kalau tercapai cita-cita nanti, aku nak beli getah sekerap itu dua tiga kali ganda lebih banyak, kemudian letakkan balik secara diam-diam di tempat aku curi dahulu. Tetapi sampai sekarang asyik bertangguh, tak buat-buat,” keluhnya.
"Tak apalah, yang aku curi cuma hak emak saudara, bukannya hak rakyat,” ceritanya lagi.
Bukan hanya yang mahu menjadi penyanyi, pelakon atau pemain muzik melihat Kuala Lumpur sebagai tempat yang ideal untuk mencapai cita-cita mereka.
Yang berbakat dalam seni penulisan, seni lukis, seni kartun dan pelbagai cabang seni lain pun begitu.
Tidak semua yang datang itu berjaya mendapat apa yang mereka hajatkan. Ada yang bercita-cita menjadi penyanyi tetapi berakhir sebagai peniaga pasar malam, dan tidak sedikit yang niat asalnya hendak menjadi pelakon, tetapi kesudahannya melakukan kerja-kerja lain yang tiada kaitan dengan dunia lakonan.
Dalam pada itu, ramai yang berpatah balik, meneruskan kehidupan sebagai orang ‘biasa-biasa’.
Dalam kalangan yang berjaya pula, perjalanan mereka tidak mudah. Ada yang pernah menjadi gelandangan, tidak kurang juga yang diusir dari rumah kawan kerana lama sangat menumpang.
Ikat perut menjadi perkara biasa, begitu juga jika terpaksa minum air paip berhari-hari. Itu belum lagi dicampur cerita dihalau dari bilik rakaman, atau artikel hasil tulisannya dicampak oleh editor.
Pada masa itu amat jarang berlaku orang menjadi terkenal sekelip mata. Malah selepas berjuta kelip mata pun kadang-kadang orang masih tidak kenal. Nama saja penyanyi atau pelakon, tetapi bila jumpa jiran sebelah sang jiran boleh pula bertanya, "Awak kerja apa?”
Tetapi itu dulu. Sekarang untuk menjadi terkenal tak perlu bersusah payah ‘datang ke ibu kota’. Ia boleh dilakukan di mana-mana. Ambil kamera, pacak, buat perangai tidak senonoh depan kamera itu, cakap ikut sedap jangan peduli hukum hakam, atau menyanyilah biarpun suara macam tin susu kena pijak.
Selepas selesai, pos ke media sosial, kalau bernasib baik, selang sejam dua ia menjadi tular dan anda menjadi terkenal. Kalau malas hendak bergambar, tulis sahaja komen yang bukan-bukan. Jika bernasib baik, hari ini pos, esok lusa pihak berkuasa datang ambil. Terkenallah juga. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik danbekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca