SHAH ALAM - Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan keputusan sendiri sebaliknya telah mendapat pandangan pakar terlebih dahulu, terutama kesan terhadap pencarum apabila bersara kelak.
Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tidak adil untuk mengatakan bahawa tindakan Anwar itu tidak memperjuangkan hak rakyat.
"Saya kira untuk menjadi kerajaan bertanggungjawab dan mementingkan masa depan negara, Anwar tidak perlu melayan tuntutan itu walaupun keputusan yang dibuatnya itu mendapat kritikan hebat daripada pembangkang,” katanya kepada Sinar Premium.
Malah kata Awang Azman, adalah tidak adil juga sekiranya mengatakan Anwar tidak mementingkan kebajikan rakyat hanya kerana membuat keputusan yang tidak popular itu.
Berkongsi pandangan sama, Pengarah Program MBA dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menegaskan, tidak adil menuduh Ahli Parlimen Tambun itu gagal menangani masalah rakyat terutamanya soal kenaikan kos sara hidup dan harga barang selepas enam bulan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ujarnya, isu kenaikan harga barangan dan kos sara hidup amat kompleks dan mustahil untuk diselesaikan dalam tempoh sesingkat enam bulan kerana perkara itu sudah berakar umbi, selain berkait rapat soal pelaksanaan dasar di zaman kerajaan sebelum ini.
"Saya juga tidak yakin ada kerajaan dan Perdana Menteri baharu mampu menyelesaikan masalah itu dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Kerajaan tidak akan memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia ke-12 dan sebagainya, sekiranya masalah itu boleh diselesaikan menerusi belanjawan tahunan sahaja.
"Oleh itu, jika kita mahu melihat keupayaan Kerajaan Madani pimpinan Anwar dari segi impak terhadap ekonomi dalam tempoh beberapa bulan sahaja, memang tidak logik,” ujarnya.
Tambahnya, antara perkara boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai Kerajaan Madani adalah misi Anwar untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam masa setahun selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
"Saya difahamkan ketika ini terdapat lebih 150,000 isi rumah di Malaysia yang berada di bawah paras kemiskinan tegar. Jadi kita boleh lihat dalam masa setahun berapa ramai isi rumah berjaya keluar daripada status kemiskinan tegar. Namun sekarang kita kena tunggu dulu sehingga cukup setahun Anwar jadi PM,” jelasnya.
Ahmed Razman turut berpendapat, apa yang perlu dilakukan Anwar sekarang adalah memastikan pertumbuhan ekonomi sentiasa positif dengan meneruskan dasar sedia ada yang digubal oleh kerajaan sebelum ini.
"Perkara yang penting sekarang adalah pelaksanaan. Jika kerajaan dan menteri kabinet pimpinan Anwar tidak bertindak dengan betul, keadaan ekonomi negara akan menjadi bertambah teruk dan ketinggalan berbanding negara jiran.
"Misalnya, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang mempunyai lebih 70 pelan tindakan dan memberi tumpuan khusus terhadap usaha mempertingkat sekuriti makanan negara.
"Jadi, kita mahu tahu berapa banyak pelan tindakan yang sudah berjaya dilaksanakan dengan merujuk kepada laporan kemajuan projek tersebut, apakah input dan output dalam tempoh misalnya tiga bulan sekali,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca