SHAH ALAM Orang ramai disaran menyimpan bekalan air lebih awal dan mengamalkan rutin minum air masak sebanyak 2.5 liter sehari sebagai persediaan menghadapi fenomena cuaca panas di negara ini.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, bagi pekerja yang terlibat dalam aktiviti luar bangunan seperti pembinaan pula, digalakkan minum air masak sebanyak tiga hingga 3.5 liter sehari.
"Kedua untuk mereka yang bekerja di luar, pastikan bawa bekalan air atau beli air mineral.
"Secara umum, elakkan daripada minum minuman berkafein, bergula dan beralkohol sebab ketiga-tiga minuman ini akan memekatkan saluran darah dan seterusnya mengundang masalah yang tidak diingini ataupun berlakunya strok haba,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, ujar Dr Hanafiah, orang ramai dinasihatkan supaya mengenal pasti simptom awal sebelum berlakunya strok haba.
"Jika terkena strok haba ia bermaksud sudah teruk dan susah untuk diselamatkan. Sebab itu orang ramai dinasihatkan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal strok haba agar dapat dirawat segera.
"Antara simptomnya adalah pening kepala, sesak nafas, keletihan, kelesuan, jumlah air kencing berkurangan daripada biasa, warna air kencing lebih pekat dan berpeluh secara luar biasa,” ujarnya.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu kerap memantau dan memeriksa suhu badan anak-anak agar memastikan suhu mereka berada pada kadar yang normal iaitu antara 36.2 darjah hingga 37.2 darjah Celsius.
"Jadikan rutin untuk periksa suhu badan anak-anak bila mereka pulang dari sekolah. Kemudian nasihatkan mereka supaya selalu minum air dan kurangkan aktiviti luar.
"Jika ingin melakukan aktiviti sukan seperti berjoging atau bersukan, jangan pilih waktu suhu puncak iaitu antara 12 tengah hari hingga 5 petang kerana ketika itu suhu memuncak pada 30 darjah Celsius sehingga 38 darjah Celsius,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca