SELASA lalu adalah ulang tahun kelima penggantian kerajaan Persekutuan pada 9 Mei 2018 selepas Barisan Nasional (BN) memerintah lebih 60 tahun lamanya. Untuk mereka yang mengharapkan sebuah sistem dua gabungan, mereka dihampakan dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SELASA lalu adalah ulang tahun kelima penggantian kerajaan Persekutuan pada 9 Mei 2018 selepas Barisan Nasional (BN) memerintah lebih 60 tahun lamanya.

Untuk mereka yang mengharapkan sebuah sistem dua gabungan, mereka dihampakan dengan Langkah Sheraton yang memulakan era ‘parlimen tergantung’ – ketiadaan sebuah gabungan atau parti yang memenangi majoriti - di Malaysia.

Kalau dahulu seorang Perdana Menteri dapat menerajui negara selama 22 tahun, tetapi selepas 9 Mei 2018, kita mempunyai lima Perdana Menteri dalam lima tahun iaitu dari tahun 2018 hingga 2022.

Meskipun kita mungkin sudah bertenang dengan Perdana Menteri bertukar ganti, ekonomi akan berombak-ombak kalau kita menukar kerajaan sekerap seperti menukar baju.

Sebenarnya, Parlimen tergantung dan kerajaan berhayat pendek adalah dua perkara yang boleh dipisahkan.

Apa yang memendekkan hayat kerajaan bukan ketiadaan majoriti di pihak kerajaan, tetapi amalan dan budaya politik antara parti.

Negara Denmark mempunyai sekurang-kurangnya 13 kerajaan minoriti dalam tempoh tiga dekad sebelum Disember 2022 tetapi tidak berlaku pun kemelut politik ala-Malaysia.

Sebenarnya kalau kita meninjau seluruh dunia, lebih banyak kerajaan campuran dan kerajaan minoriti berbanding kerajaan majoriti wujud di negara-negara demokrasi berparlimen.

Sungguhpun setiap negara mempunyai konteks sejarah dan institusi sendiri, dan kejayaan sesebuah negara tidak boleh disalin bulat-bulat oleh negara lain, ini tidak bermakna kita tidak boleh mengambil iktibar dan membuat penyesuaian untuk konteks sendiri.

Pada Selasa dan Rabu lalu, sebuah sidang meja bulat telah berlangsung di Parlimen, anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Bersih Global dan Yayasan Kofi Annan dengan membawa pakar-pakar termasuk sarjana serta mantan ahli Parlimen dari Jerman, Australia, Finland, Kanada serta Filipina, untuk berbincang bersama dengan pemegang-pemegang taruh di Malaysia.

Satu rahsia kejayaan ialah budaya politik yang menekankan kerjasama dan muafakat. Di Jerman, serang-menyerang antara parti-parti politik dan tukar ganti kerajaan yang kerap – 15 kerajaan baharu dalam 15 tahun – dalam era Republik Weimar (1918-1933) telah membuka jalan kepada rampasan kuasa oleh Hitler.

Kerana pengajaran besar ini, parti-parti arus utama di Jerman selepas Perang Dunia Ke-2 menekankan kerjasama dan kompromi jika tiada satu parti memenangi majoriti.

Untuk mengelakkan tukar ganti kerajaan yang kerap, Perdana Menteri (Chancellor) tidak boleh digulingkan dengan sekadar kehilangan majoriti kecuali terdapat seorang penggantinya yang mendapat majoriti.

Ini secara langsung mengelakkan vakum politik di mana kerajaan lama digulingkan tetapi kerajaan baharu bermajoriti tidak dapat dibentuk.

Dengan budaya politik dan mekanisme perlembagaan yang menekankan kompromi dan kestabilan, Jerman tidak pernah mengalami ketidakstabilan politik sekali pun mempunyai 20 parlimen tergantung sejak 1949. Sepanjang tujuh dekad, cuma seorang Chancellor yang berjaya ditukar di tengah penggal.

Di Finland, kerana sejarah menentang penceroboh Soviet Union dan Jerman Nazi dalam Perang Dunia Kedua, parti-parti juga menekankan kerjasama dan muafakat.

Mana-mana parti yang jadi kerajaan tidak akan menganaktirikan parti pembangkang dan pembangkang juga tidak akan sabotaj kerajaan.

Muafakat ini bukan nilai atau ciptaan khas orang Eropah. Ia wujud di semua tamadun termasuk Islam dan Nusantara. Bilakah kita akan lihat budaya politik matang sebegini di Malaysia?

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca