SHAH ALAM - Menyimpan bekalan air lebih awal dengan kuantiti banyak adalah antara persiapan dilakukan orang ramai untuk menghadapi musim kemarau nanti.
Kebanyakan mereka terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang urusan harian akan terjejas sekiranya berlaku krisis air.
Pegawai Penyelidik, Nik Muhammad Mustaqim Zahari, 28, berkata, dia mula menyimpan air dalam tong besar serta baldi sebagai persediaan jika berlaku ketiadaan air di rumah.
"Malah, saya sentiasa penuhkan air dalam kolah untuk pastikan apabila berlaku gangguan air, bekalan yang sudah ditadah mampu bertahan dalam tempoh beberapa hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pekerja swasta, Nor Flora Farisa, 29, berkata, dia perlu menyimpan bekalan air yang banyak susulan sering mengalami gangguan bekalan tersebut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.
"Pagi tadi (Rabu) baru sahaja tiada bekalan air. Mujurlah saya telah melakukan persediaan awal dengan menadah air dalam tong kerana tidak mahu terlalu bergantung dengan tangki air di rumah.
"Memang kena beli banyak tong untuk isi air sebagai persediaan awal. Ditambah pula ketika ini cuaca panas, jadi perlu menyimpan air untuk hadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.
Bagi Afzainizam Kastari, 50, pula mencadangkan penduduk di kampung menggali perigi sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air.
"Boleh dilakukan jika ada modal dan rumah yang berhampiran sungai boleh gali perigi untuk mendapatkan simpanan air yang bersih.
"Sebagai langkah waspada, kita juga kena simpan air dalam tong atau tangki yang besar kerana takut kekurangan sumber air akibat musim kemarau nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, 27, berkata, dia mengambil inisiatif membeli air minuman dalam botol dengan jumlah yang mencukupi untuk disimpan ketika kecemasan.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas sejak kebelakangan ini,” ulasnya.
Klik di sini untuk terus membaca