SAYA telah dijemput untuk menyampaikan syarahan dengan tajuk P Ramlee: Penang Greatest Cultural Icon oleh Yayasan Penang Free School dalam satu majlis yang akan dianjurkan bersama Arkib Negara Malaysia pada 13 Mei 2023 ini. Tarikh yang... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA telah dijemput untuk menyampaikan syarahan dengan tajuk P Ramlee: Penang Greatest Cultural Icon oleh Yayasan Penang Free School dalam satu majlis yang akan dianjurkan bersama Arkib Negara Malaysia pada 13 Mei 2023 ini.

Tarikh yang mereka pilih adalah sangat signifikan, bukan hanya untuk mengingatkan kita kepada peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tetapi lebih penting adalah untuk mengingatkan kita bagaimana Allahyarham Tan Sri P Ramlee telah meraikan kepelbagaian dalam filem-filem dan lagu-lagu beliau.

Lebih penting, bulan Mei juga adalah bulan beliau kembali kepada Penciptanya. Lebih tepat adalah pada tanggal 29 Mei 1973. Tahun ini genap 50 tahun P Ramlee meninggalkan kita.

Beliau pergi pada usia yang sangat muda. Beliau baru menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-44 pada 22 Mac tahun tersebut.

Dalam 44 tahun usianya itu, beliau telah menghambakan dirinya sebagai anak seni. Dalam masa yang singkat ini, P Ramlee telah berlakon dalam 62 buah filem di mana 33 daripadanya diarahkan sendiri olehnya.

Dalam satu hasil kajian ada disebut bahawa P Ramlee mula menulis lagu ketika berusia 19 tahun.

Bermakna antara 19 ke 44 tahun, hanya dalam masa 25 tahun itu beliau telah menghasilkan 359 buah lagu. Secara puratanya 14.3 buah lagu setiap tahun.

Menulis kolum ini dua kali seminggu pun sudah cukup memeningkan, inikan pula menghasilkan lagu yang rata-ratanya masih segar dan dapat dengar di semua platform digital hari ini.

Sebagai usaha awal saya untuk menyediakan syarahan ini, saya membuat sedikit kajian. Kita sedia maklum bahawa P Ramlee adalah antara ikon seni yang telah banyak dikaji dan ditulis. Pelbagai buku dalam pelbagai bidang telah ditulis untuk menceritakan tentang kehebatan beliau.

Secara rambang, apabila saya membuat kajian bibliometrik menggunakan kata kunci P Ramlee, melalui Google sahaja saya mendapat penemuan hampir 4.5 juta hits.

Menggunakan Google Scholar pula saya menemui hampir 9,450 tulisan yang merujuk kepada P Ramlee.

Bagi para ahli akademik, mereka akan tahu bahawa Google Scholar ini adalah enjin carian web yang boleh diakses secara bebas yang mengindeks teks penuh atau metadata keseluruhan bahan ilmiah merentas pelbagai format dan disiplin penerbitan.

Ini bermakna ada 9,450 kajian ilmiah yang merujuk kepada seorang hamba seni yang telah menghasilkan pelbagai produk seni yang masih relevan sehingga sekarang dan telah menjadi bahan kajian.

Kalau kita teliti secara mendalam, apakah agaknya antara perkara yang dikaji oleh para pengkaji ini? Kita akan menemui bagaimana P Ramlee telah menyumbang kepada pembinaan negara bangsa kerana ada filem-filem beliau yang menyoal isu kelas, isu etnisiti dan isu kemodenan dalam masyarakat.

Ambil filem Penarek Beca umpamanya. Filem ini mengisahkan mengenai seorang penarik beca, Amran dan seorang gadis anak orang kaya bernama Azizah yang telah jatuh cinta, tetapi percintaan mereka mendapat tentangan oleh bapa Azizah.

Walaupun cerita ini adalah satu cerita yang biasa dalam filem-filem cinta tetapi kalau kita beri penelitian tentang pengajaran yang P Ramlee cuba tunjukkan dalam mengupas isu kelas dan kedudukan yang mengajar kita tentang kepentingan ketabahan, kasih sayang dan kekuatan semangat manusia untuk mengatasi sebarang kesukaran.

Ambillah mana-mana filem beliau yang lain, malah yang berbentuk komedi seperti Bujang Lapok atau Do Re Mi pun kita akan dapat banyak pengajaran kerana filem-filem beliau bukan setakat mengupas mengenai penderitaan masyarakat tetapi menceritakan realiti secara humor bagaimana seseorang itu sanggup menipu mati untuk lari daripada bebanan hutang.

Filem Semerah Padi pula memaparkan nilai dan undang-undang Islam yang diangkat dan dikupas dalam realiti kehidupan bermasyarakat dan saya ada menemui satu kajian bertajuk Visualizing Islamic Law and Values in Semerah Padi (1956): P. Ramlee as Cinematographic Autuer.

Ini kehebatan P Ramlee dan tidak salah untuk saya katakan bahawa beliau sejak dahulu lagi sudah menjadi suara kepada rintihan rakyat melalui filem-filem dan lagu.

* Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca