MOSCOW - Beribu-ribu anggota tentera Rusia menyertai perarakan sempena ulang tahun ke-78 kemenangan Soviet Union (USSR) menewaskan Nazi Jerman di Moscow pada Selasa.
Perarakan besar-besaran di Dataran Merah itu turut dihadiri Presiden Vladimir Putin dan ketua negara bekas republik USSR yang lain antaranya Presiden Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Tajikistan dan Belarus serta Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan.
Putin dalam ucapannya turut menyentuh mengenai operasi ketenteraan yang dilancarkan Rusia ke atas jirannya, Ukraine lebih setahun lalu.
Putin menegaskan bahawa Rusia akan mencapai kemenangan mutlak dalam peperangan di Ukraine sambil menuding jari ke arah Amerika Syarikt (AS) dan sekutu Baratnya termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai punca sebenar konflik ketegangan yang melanda antara Moscow dan Kiev.
Lebih 10,000 askar berarak mempamerkan kekuatan tentera diiringi 125 aset ketenteraan, menurut maklumat yang disalurkan oleh Rusia.
Namun, media antarabangsa melaporkan sekitar 8,000 tentera menyertai perarakan kemenangan tersebut iaitu jumlah terendah sejak 2008.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, perarakan kali ini diadakan tanpa kehadiran jet-jet tempur di ruang udara Moscow, selain jumlah aset ketenteraan yang sedikit.
Malah, acara perarakan tentera juga dilaporkan berlangsung kurang daripada satu jam. - Agensi