SHAH ALAM - Dasar Kerajaan Perpaduan akan dilihat tidak jauh berbeza dengan prinsip kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya amalan agihan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun dalam kalangan pemimpin politik berterusan dipraktikkan kerajaan sedia ada.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau bimbang keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi politik dan pentadbiran kerajaan yang dilaung-laungkan Pakatan Harapan (PH) selama ini semakin terhakis sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertindak segera untuk membendung amalan berkenaan.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan amalan 'ghanimah' jawatan politik terpaksa dilaksanakan Kerajaan Perpaduan demi mengukuhkan kestabilannya.
Hal ini memandangkan beliau berpendapat, PH tidak boleh mempraktikkan amalan pelantikan 'ayam-ayam tambatan' parti-parti kerajaan ke jawatan penting GLC dan badan berkanun semata-mata untuk menjaga kepentingan politik dan poket individu-individu berkenaan.
"Dahulu kita (PH) janji pada rakyat bagaimana? Nanti bila amalan ghanimah politik ini sudah jadi 'asal bisa tegal biasa', sudah tidak ada beza prinsip kerajaan sekarang ini dengan kerajaan zaman pimpinan Najib, Muhyiddin.
"Saya tidak boleh terima alasan kerajaan terpaksa amal agihan jawatan GLC, badan berkanun kepada pemimpin politik demi kestabilan kerajaan. Nampak tiada asas sebab sebahagian besar lantikan itu diberi kepada pimpinan politik yang kalah pilihan raya.
"Dari dahulu lagi saya suarakan kesedihan mengenai perkara ini dan bimbang rakyat akan semakin hilang keyakinan terhadap PH dan Kerajaan Perpaduan.
Takkan amalan lantik 'jack of all trades' atau ayam-ayam tambatan parti politik kerajaan untuk jawatan GLC akan berterusan?," kata wakil rakyat PKR itu kepada Sinar Premium pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman terkini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin politik PH bagi jawatan pengerusi baharu lima badan berkanun di bawah kementerian itu, berkuat kuasa 15 Mei ini.
Pengumuman ini menimbulkan polemik perdebatan dalam kalangan pemimpin PH dan Kerajaan Perpaduan memandangkan amalan agihan jawatan GLC dan badan berkanun kerajaan dilihat berterusan dilaksanakan menteri UMNO dan PH sejak tertubuhnya kerajaan campuran pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Hassan turut mempersoalkan keengganan menteri-menteri di dalam Kerajaan Perpaduan mengutamakan pelantikan jawatan penting GLC dan badan berkanun dalam kalangan pakar atau tokoh teknokrat yang sememangnya berpengetahuan luas dalam bidang-bidang diterokai syarikat kerajaan berkenaan.
Pandangan Hassan itu bagaimanapun ditolak sepenuhnya oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menegaskan isu pelantikan lima pemimpin PH memegang jawatan pengerusi badan berkanun tidak seharusnya dipolitikkan.
Beliau turut menegaskan ramai terkeliru dengan asas pendirian PH sebelum ini yang tidak menyatakan lantikan jawatan tertinggi badan berkanun termasuk dalam kempen koalisi itu menolak sebarang usaha pelantikan jawatan GLC untuk pemimpin politik.
"Lima pemimpin PH yang dilantik oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bukan melibatkan jawatan syarikat GLC, sebaliknya badan berkanun yang tidak terikat dengan tanggungjawab terhadap Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
"Lagi satu, ramai tidak faham pelantikan jawatan politik bagi syarikat badan berkanun adalah berbeza dengan prinsip lantikan jawatan untuk syarikat GLC. PH tidak pernah kata kita menolak sebarang pelantikan politik untuk jawatan badan berkanun, cuma GLC sahaja yang kita tidak terima.
"Lagipun, kelima-lima pemimpin Amanah dan DAP yang dilantik menteri memang ada merit dan sangat berkelayakan untuk jawatan digalas, jadi apa isunya?," ujarnya.
Mujahid yang juga Pengerusi PH Perak turut meminta rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama UMNO supaya tidak mempertikaikan pelantikan dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang sememangnya berasaskan autoriti yang sah.
"Adakah lima pemimpin PH ini terpalit kes mahkamah? Mereka dilantik atas merit dengan keputusan itu tidak bercanggah dengan dasar PH. Jadi, jangan polemikkan keputusan berkenaan.
"Dengan pelantikan itu dibuat atas merit kepimpinan parti oleh kuasa menteri, pelantikan itu perlu dihormati semua pihak sebagai agenda mengukuhkan Kerajaan Perpaduan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca