SHAH ALAM - Penggunaan satu logo bagi parti-parti bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat mampu memberikan kelebihan di kawasan strategik.
Penganalisis Politik, Dr Ahmad Atory Hussain berkata, taktik itu sebenarnya boleh 'memperdaya' pengundi terutama bagi yang kurang mengenali calon atau parti.
Menurutnya, idea itu juga menunjukkan ada parti yang terdesak untuk menang di sesetengah kawasan dan negeri berikutan kerjasama PH-BN.
"Situasinya sekarang, UMNO berdepan dengan pengundi yang dahulunya menyokong UMNO dan mereka marah kerana parti itu bersama dengan PH yang di dalamnya ada DAP dan PKR.
"Tapi mereka masih sayangkan UMNO dan BN. Jika ada parti lain yang guna logo BN, mungkin akan ada pengundi mengundi mereka,” katanya.
Ditanya mengenai logo gabungan mana yang dilihat lebih kuat antara BN dan PH, Ahmad Atory menjelaskan, BN adalah lebih popular di kawasan majoriti Melayu dan begitulah sebaliknya.
Tumpu kerjasama, bukan logo
Sementara itu, penggunaan mana-mana logo untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan menjadi keutamaan, sebaliknya semangat kerjasama yang terjalin perlu dijaga supaya tidak berpecah belah.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, sekiranya PRN kali ini menggunakan satu logo yang sama, maka semua parti gabungan PH-BN perlu melihatnya secara positif.
"Yang paling penting adalah semangat bersama itu perlu dikekalkan. Kalau logo sama tapi semangat berbeza pun tidak guna juga seperti yang terjadi kepada Muafakat Nasional.
"Ia berlaku apabila kepimpinan parti tidak melihat kepentingan bersama, menyebabkan gabungan itu berpecah,” katanya kepada Sinar Harian.
Chean Chung turut memaklumkan penggunaan logo pada PRN belum diputuskan lagi.
Ujarnya, ia masih dalam proses perbincangan dan tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan sama ada mengekalkan logo masing-masing atau menggunakan satu logo yang sama.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki enggan mengulas perkara itu sehingga selesai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini.
"Berkenaan penggunaan logo PRN, nanti tanya saya selepas konvensyen,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca