KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO meminta lantikan lima pengerusi baharu badan berkanun bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang kesemuanya ahli politik ditarik balik kerana ia bertentangan dengan prinsip Kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO meminta lantikan lima pengerusi baharu badan berkanun bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang kesemuanya ahli politik ditarik balik kerana ia bertentangan dengan prinsip Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, lantikan itu perlu diteliti semula berdasarkan prinsip dipegang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melakukan reformasi amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Walaupun lantikan itu hak prerogatif menteri seperti kita sedia maklum tetapi kena diambil kira prinsip yang kerajaan pegang dan janjikan.

"Saya minta Perdana Menteri lihat semula prinsip yang ditetapkan itu dan teruskan berpegang kepada prinsip berkenaan serta tunaikan apa yang dijanjikan.

"Kalau ia tidak dikotakan, saya risau rakyat akan mula benci, muak dan mereka tak mahu lagi ambil tahu pasal politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian yang diadakan di Pejabat Pemuda UMNO, Menara Dato Onn pada Rabu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu pada Selasa, mengumumkan lima pengerusi baharu badan berkanun bawah kementeriannya yang kesemuanya ahli politik.

Tindakan itu secara tidak langsung memperlihatkan Anwar meneruskan amalan melantik ahli politik dalam badan berkanun dan GLC, walaupun Presiden PKR itu mendesak reformasi dilaksanakan sejak dua dekad lalu.

Muhamad Akmal menegaskan, pihaknya membuat teguran kerana merasakan perkara itu salah dan perlu diperbetulkan.

"Kalau boleh semua ahli politik tak kisahlah daripada mana-mana parti pun, kena buktikan apa yang mereka janji mesti dizahirkan supaya rakyat di bawah tidak muak dengan orang politik.

"Kalau rakyat berasa demikian terhadap kerajaan, maka ini isu serius dan membahayakan,” ujarnya.

Ia bukan suatu kesalahan - Ahli Parlimen

Sementara itu, pelantikan lima pengerusi baharu badan berkanun Persekutuan melibatkan pemimpin politik bukanlah satu kesalahan kerana tidak melanggar prinsip Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, lantikan itu hanya melibatkan agensi di bawah kerajaan dan bukannya jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau turut mempertahankan pelantikan itu dan menyatakan tidak salah jika individu tersebut melepasi tapisan serta menepati kriteria ditetapkan.

"Sama seperti golongan profesional, ahli politik turut disaring sebelum ditawarkan ke sesuatu jawatan termasuk melihat kemampuan, kelayakan, pengalaman dan pendidikan.

"Mereka ini ada kemampuan dan boleh berkhidmat serta membantu di agensi. Tentulah orang dilantik itu mempunyai kemahiran tentang bidang yang berkaitan, jadi tidak ada isu.

"Kita menggembleng semua sektor untuk membantu sesebuah agensi kementerian dan kerajaan. Yang paling penting adalah mempunyai integriti, ada rasa tanggungjawab serta amanah,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pelantikan pengerusi lima badan berkanun Persekutuan melibatkan pemimpin politik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pelantikan itu bukan dibuat sewenang-wenangnya dan tidak menjurus kepada lantikan politik semata-mata.

"Tidak semestinya orang politik, maka dia tidak boleh dilantik.

"Kita bukan nak bagi jawatan semata-mata tapi perlukan kemahiran mereka supaya badan berkanun dan GLC dapat diurus dengan baik, lebih teratur dan bersistem,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca