ARTIFICIAL Intelligent atau kecerdasan buatan (AI) dianggap antara ciptaan teknologi paling mengagumkan pada ketika ini. AI digunakan dalam setiap aspek termasuk ChatGPT yang mendapat perhatian istimewa daripada ramai pihak khususnya... Klik di sini untuk terus membaca

ARTIFICIAL Intelligent atau kecerdasan buatan (AI) dianggap antara ciptaan teknologi paling mengagumkan pada ketika ini.

AI digunakan dalam setiap aspek termasuk ChatGPT yang mendapat perhatian istimewa daripada ramai pihak khususnya golongan akademik.

Begitupun, penulis agak terkejut dengan pandangan peribadi rakan kongsi Steve Job iaitu Steve Wozniak. Mereka sama-sama membangunkan Apple sehingga menjadi kegilaan di seantero dunia.

Pandangannya disiarkan media di seluruh dunia termasuk The Guardian, Selasa lalu. Wozniak berpendapat AI sangat berguna kepada pembangunan teknologi canggih. Namun, AI sangat memberi faedah dan manfaat besar kepada scammers.

Menerusi teknologi canggih, scammers bergerak bebas untuk menipu dan memperdaya mangsa yang buta teknologi maklumat (IT).

Penulis bersetuju dengan pendapat Wozniak. Penulis perhatikan scammers kian bijak memanipulasikan kehebatan AI untuk menyamun berbilion ringgit.

Scammers bergerak bebas di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Adakala kegiatan mereka sangat sukar untuk dihidu disebabkan kehebatan AI.

Justeru, Wozniak memberi amaran dan mencadangkan pihak berkuasa menetapkan AI dikenakan peraturan piawaian bagi mengawal perkembangannya.

Malah, beliau juga antara 1,800 insan yang menandatangani surat perjanjian meminta dihentikan projek pembangunan Sistem AI Perkasa yang dianggap sangat berbahaya kepada manusia.

Pembangunan Sistem AI Perkasa dianggap memberi jalan keluar kepada scammers. Penyangak siber tidak mampu dikesan sekali gus menyebabkan ramai mangsa diperdaya tanpa disedari.

Penulis percaya ramai tidak memahami AI yang merupakan bidang baharu. AI meliputi pembelajaran mesin, pemprosesan bahasa semula jadi atau bahasa alam, penglihatan komputer, robotik dan banyak lagi.

AI melibatkan pembangunan program dan algoritma komputer berasaskan model matematik yang mampu mensimulasikan proses kognitif manusia, membolehkan mesin melaksanakan tugas yang biasanya memerlukan campur tangan manusia.

AI mempunyai banyak aplikasi praktikal, seperti dalam pengecaman pertuturan, analisis imej dan video, pemprosesan bahasa asli, robotik, sistem autonomi dan banyak lagi.

AI disebut dalam Surah Al-Anbiya ayat 21:31-33 bermaksud "Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan (pula) di bumi ini jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat petunjuk; Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, sedang mereka berpaling daripada segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya; Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing daripada keduanya itu beredar dalam garis edarnya.”

Pembangunan terkini AI termasuk GPT-4 oleh OpenAI, syarikat diasaskan bersama Elon Musk dan disokong Microsoft juga mampu mereka cipta perbualan seperti manusia, mengarang lagu dan meringkaskan dokumen panjang. ChatGPT pula mampu mencipta teks pintar sekali gus memberi kelebihan ketara kepada scammers.

Oleh itu, penulis menasihatkan pengguna segera mengambil langkah melindungi data peribadi. Organisasi besar juga harus mengelakkan daripada serangan siber.

Sentiasa gunakan kata laluan ‘kuat’, memastikan perisian peribadi dan organisasi sentiasa dikemas kini. Pantau akaun daripada aktiviti mencurigakan.

Laksanakan juga langkah keselamatan seperti tembok api, penyulitan dan pengesahan berbilang faktor membantu menghalang capaian tidak dibenarkan kepada data peribadi dan organisasi.

AI sebenarnya tidak mampu menggantikan kecerdasan manusia sepenuhnya kerana tidak memiliki emosi. Inilah yang memberi ruang kepada scammers untuk terus memperdaya mangsa tanpa peri kemanusiaan.

Kesimpulannya belajarlah sesuatu tentang AI supaya tidak mudah diperdaya scammers!

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca