SAYA terpanggil untuk mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memeterai perjanjian dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Pada pandangan saya, tidak ada apa-apa keperluan untuk kerajaan memeterai apa-apa perjanjian dengan UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu di negara ini.
Kehadiran UNHCR adalah atas ehsan dan izin kerajaan Malaysia. Namun, UNHCR telah menyimpang daripada peranan dan sudah sampai masanya untuk Malaysia mengkaji semula kedudukan suruhanjaya itu sama ada ia masih perlu diizinkan terus beroperasi di negara ini. Sepatutnya peranan utama UNHCR ialah menjadi penyelaras dan membantu golongan itu untuk ditempatkan di negara ketiga.
Sebaliknya, fokus utama UNHCR kini ialah mengeluarkan `kad' untuk memboleh dan mempermudahkan orang pelarian untuk terus tinggal di Malaysia.
Inilah yang mendorong orang pelarian dan khususnya Rohingya untuk membolos dari kem-kem pelarian di Bangladesh dan Indonesia untuk datang ke Malaysia.
Lebih mengejutkan ialah pendedahan terbaru bahawa suruhan jaya itu telah juga didapati mengeluarkan kad UNHCR kepada rakyat Indonesia yang telah berkahwin dengan orang pelarian.
Malaysia bukan negara yang terikat kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 dan lanjutan daripada itu, tiada apa-apa keperluan bagi Malaysia menjadi negara ketiga penempatan orang pelarian.
Jika pun orang pelarian yang ada di Malaysia, mereka tinggal atas ehsan negara ini sementara menunggu penempatan di negara ketiga, yang sepatutnya menjadi tanggungjawab UNHCR.
Tidak keterlaluan untuk menyatakan UNHCR sebaliknya sudah menjadi ‘kerajaan dalam kerajaan’ atau ‘Kementerian Dalam Negeri Untuk Orang Pelarian’ bagi menyelaras dan menyelia kebajikan serta menjaga hak asasi pelarian.
Mantan Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pernah mendedahkan bahawa terdapat persetujuan bahawa kad UNHCR yang mahu dikeluarkan perlu mendapat kelulusan imigresen dan polis terlebih dahulu.
Sementara itu, mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menyuarakan kegusaran kerajaan kerana tidak tahu jumlah sebenar pemegang kad UNHCR memandangkan angka pemegang kad yang sepatutnya tidak berganjak dan kekal, sebaliknya menunjukkan peningkatan.
Pada masa ini terdapat 185,760 orang pelarian pemegang kad UNHCR di Malaysia.
Daripada angka ini, 83 peratus (160,332) adalah dari Myanmar, dengan 107,433 adalah Rohingya, manakala warganegara pelarian lain ialah Pakistan (7,109), Yaman (3,466), Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161).
Pada tahun 2013, jumlah pelarian Rohingya di Malaysia hanya 28,120 orang. Kini, dalam tempoh 10 tahun sehingga Mac 2023, jumlah pelarian Rohingya naik mendadak kepada 107,433 orang.
UNHCR adalah satu agensi yang jelas telah gagal mengurus penempatan orang pelarian di negara ketiga. Sepanjang 18 tahun dan sehingga 2021, UNHCR hanya mampu menempatkan 8,312 pelarian Rohingya di negara ketiga.
Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia perlu tegas dengan UNHCR dan mengambil alih tanggungjawab mengurus penempatan orang pelarian ke negara ketiga (atau ditempatkan dalam kem-kem orang pelarian di Malaysia).
Sebagai permulaan Malaysia boleh membincang dengan negara-negara Islam OIC, untuk setiap negara sepakat mengambil dan memberi penempatan sebagai negara ketiga kepada pelarian Rohingya.
Apapun kita sudah cukup memberi muka dan berlembut dengan UNHCR.
* Norman Fernandez ialah seorang peguam dan pengamat isu pelarian Rohingya semenjak 2014.
Klik di sini untuk terus membaca