CIUDAD JUAREZ - Di bawah terik matahari, beratus-ratus pendatang menyeberangi Sungai Rio Grande di Mexico berikutan khabar angin bahawa Amerika Syarikat (AS) bersedia menerima kehadiran mereka di negara Uncle Sam itu.
Khabar angin tersebut tersebar daripada mulut ke mulut dan melalui media sosial yang menyatakan pihak berkuasa AS telah membuka pintu sempadannya berhampiran Ciudad Juarez di Mexico untuk memproses permohonan suaka.
"Saya dan ahli keluarga lain menyerah diri kepada pengawal sempadan di Pintu 40. Kami tidak ditahan untuk soal siasat, sebaliknya dibebaskan dan meneruskan perjalanan ke AS,” menurut salah satu catatan di Facebook.
Penyebaran berita palsu itu menyaksikan beribu-ribu pendatang berkhemah berhampiran tebing Sungai Rio Grande selama beberapa hari sebelum merentasi sempadan untuk menyerah diri kepada pegawai AS di El Paso, Texas.
Difahamkan, sebahagian besar pendatang cuba melakukan percubaan rentas sempadan terakhir sebelum AS menarik balik sekatan ‘Title 42’ pada minggu ini.
Kumpulan pendatang percaya perubahan peraturan itu akan menyukarkan lagi usaha mereka untuk masuk ke AS. ‘Title 42’ ialah undang-undang kesihatan awam 1944 yang membenarkan kerajaan AS mengusir pendatang di sempadan tanpa membenarkan mereka mendapatkan suaka.
Bagaimanapun, tiada hukuman tegas untuk kesalahan berulang melintasi sempada secara haram.
Ia telah diguna pakai semasa pentadbiran bekas Presiden Donald Trump pada Mac 2020 sebagai tindak balas terhadap pandemik Covid-19.
Pentadbiran Presiden Joe Biden telah meneruskan dasar ‘Title 42’ tetapi ia berdepan cabaran undang-undang dan terpaksa menarik sekatan tersebut bermula Khamis lalu.
Pengkritik berhujah bahawa ‘Title 42’ adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan ia digunakan untuk menghalang pencari suaka daripada mendapatkan perlindungan di AS, selain berpendapat sekatan berkenaan tidak berkesan dalam mencegah penyebaran Covid-19.
Di bawah peraturan itu, individu yang memasuki AS secara haram bukan sahaja dihantar pulang serta-merta tetapi juga dikenakan larangan selama lima tahun untuk memohon kemasukan secara sah.
Dengan berakhirnya ‘Title 42’, pihak berkuasa Mexico dan AS menjangkakan peningkatan jumlah migran yang ingin masuk ke negara itu.
Ia bukan kali pertama khabar angin atau berita palsu serupa tersebar dalam kalangan pendatang di sempadan AS-Mexico.
Pada Mac lalu, ratusan pendatang melakukan perjalanan berbahaya merentasi hutan tebal dan sungai selepas mendengar khabar angin bahawa pencari suaka dibenarkan memasuki AS sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Migran.
Khabar angin turut tersebar pada Februari lalu menyatakan pendatang yang menyerah diri kepada pihak berkuasa AS akan dibawa ke Kanada.
Penyebaran khabar angin itu dipercayai dilakukan sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi keadaan terdesak pendatang untuk meraih keuntungan berlipat ganda. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca