MENGELUARKAN mayat kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di bawah runtuhan bangunan di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye menjadi detik pilu dan menyayat hati yang sukar dilupakan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Penolong Kanan... Klik di sini untuk terus membaca

MENGELUARKAN mayat kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di bawah runtuhan bangunan di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye menjadi detik pilu dan menyayat hati yang sukar dilupakan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Khairul Azmi Jaafar.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Februari lalu meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye turut mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 buah wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi mencari dan penyelamat (SAR) berjalan lancar.

Mohd Khairul Azmi ketika ditemu bual Sinar Harian. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Khairul Azmi ketika ditemu bual Sinar Harian. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mohd Khairul Azmi, 39, adalah antara 140 anggota pasukan penyelamat yang menyertai operasi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye itu.

Bapa kepada lima anak itu berkata, hatinya tersentuh apabila melihat waris keluarga kesedihan selepas pasukan penyelamat membawa keluar mayat kanak-kanak itu dari runtuhan bangunan.

"Walaupun terkesan dengan situasi itu, kami perlu bersikap profesional dan menjalankan tugas tanpa diselubungi perasaan yang mampu menggugat penugasan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anggota JBPM bersama anggota penyelamat dari luar negara yang terlibat dalam misi SAR di Turkiye pada Februari lalu.

Beliau yang telah berkhidmat selama 11 tahun dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberitahu, antara cabaran paling besar dihadapinya ketika berada di Turkiye adalah terpaksa ‘berperang’ dengan cuaca sejuk melampau.

"Pada waktu tengah hari, suhu ialah sekitar empat hingga enam darjah Celsius sahaja.

"Suhu itu semakin menurun antara -10 hingga -13 darjah Celsius pada sebelah malam, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk membantu mangsa,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman pertamanya ditugaskan dalam operasi SAR di luar negara, Mohd Khairul Azmi berkata, beliau menerima panggilan daripada Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya kira-kira jam 9.30 pagi untuk terlibat dalam operasi SAR di Turkiye pada 8 Februari lalu.

"Saya perlu membuat persiapan sebelum melaporkan diri di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari, iaitu hari yang sama.

"Kami kemudian menaiki kapal terbang pada jam 11 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan selamat tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye kira-kira 11 pagi (6 pagi waktu tempatan) pada keesokan hari (9 Februari),” jelasnya.

Beliau berkata, ketibaan pasukan penyelamat di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

"Pasukan penyelamat menaiki penerbangan kedua ke Gaziantep yang terletak 1,136 kilometer dari Istanbul,” katanya.

Mohd Khairul Azmi menambah, sebaik tiba di Gaziantep, pasukan penyelamat kemudian diarahkan ke kawasan merah (red zone) di Nurdagi dengan menaiki kenderaan yang telah disediakan oleh kerajaan Turkiye.

"Saya terkejut apabila melihat banyak bangunan yang runtuh di red zone tersebut akibat gempa bumi,” katanya.

Sepanjang misi itu, Mohd Khairul Azmi berkata, beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan rakan sepasukan yang ditugaskan masuk ke bawah bangunan yang runtuh.

"Saya perlu memastikan keselamatan mereka kerana gempa bumi susulan turut berlaku. Keadaan itu berisiko dan boleh mengakibatkan bangunan retak yang berhampiran runtuh,” ujar beliau.

Katanya, pasukan penyelamat Malaysia disegani pasukan dari negara lain kerana berjaya mengesan ramai mangsa terperangkap.

"Penduduk tempatan amat menghargai anggota kita dan mereka berkongsi makanan walaupun dilanda bencana,” katanya yang berada di Turkiye dalam misi selama 14 hari.

Mohd Khairul Azmi pernah terlibat dalam misi menyelamat insiden runtuhan struktur binaan jejambat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur pada 3 Mac 2021.
Mohd Khairul Azmi pernah terlibat dalam misi menyelamat insiden runtuhan struktur binaan jejambat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur pada 3 Mac 2021.
Mohd Khairul Azmi pernah terlibat dalam misi menyelamat insiden runtuhan struktur binaan jejambat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur pada 3 Mac 2021.
Mohd Khairul Azmi pernah terlibat dalam misi menyelamat insiden runtuhan struktur binaan jejambat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur pada 3 Mac 2021.

Menurut beliau, pasukannya berjaya membawa keluar 13 mayat mangsa gempa bumi berkenaan.

"Pasukan penyelamat turut dibantu oleh penterjemah yang terdiri daripada guru serta sukarelawan di kawasan itu bagi memudahkan urusan serta komunikasi antara kami dengan waris mangsa dan pasukan penyelamat negara tersebut,” jelasnya.

PEMBABITAN AWAL

Menceritakan mengenai kerjayanya, anak jati Alor Gajah Melaka itu pernah bekerja dalam sektor pembangunan selama lapan tahun sebelum berkhidmat dengan JBPM pada tahun 2012.

"Saya menjalani kursus serta latihan selama lapan bulan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu dan Kuala Kubu Bharu, Selangor,” katanya.

Mohd Khairul Azmi juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Khairul Azmi juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Setahun kemudian, beliau berjaya dalam pemilihan ahli Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

"Bidang tugas STORM kini bukan sahaja bertumpu ketika berlaku kejadian runtuhan bangunan atau tanah, mahupun misi di luar negara, tetapi semakin mencabar.

"Kini anggota STORM terbabit dalam operasi bencana gempa bumi, banjir lumpur serta mencari orang hilang sama ada di laut atau hutan,” katanya.

Mohd Khairul Azmi memberitahu, beliau pernah terlibat dalam lapan operasi yang melibatkan kes runtuhan struktur bangunan.

"Perkara paling penting apabila terlibat dalam operasi tersebut adalah kita perlu tahu beberapa elemen penting termasuk jenis bangunan tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau pernah terlibat misi SAR dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember tahun lalu.

"Pasukan STORM pada ketika itu hanya sebagai pasukan bantuan dalam operasi SAR tersebut,” katanya.

Dalam kejadian pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali, Hulu Selangor.

Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Operasi SAR melibatkan seramai 80 anggota meliputi 27 daripada JBPM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Selain itu, sebanyak 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut turut digerakkan dalam operasi SAR untuk mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.

RUNTUHAN JEJAMBAT MRR2

Mohd Khairul Azmi berkata, beliau juga pernah terlibat misi menyelamat insiden runtuhan struktur binaan jejambat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur pada 3 Mac 2021.

"Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera parah setelah van kilang dinaiki mereka dihempap sebahagian struktur binaan jejambat yang runtuh pada jam 5.58 petang,” katanya.

Menurut beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Bandar Tun Razak dan BBP Cheras dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kejadian runtuhan di projek pembinaan itu melibatkan sebuah lori treler melanggar perancah besi pembinaan.

"Ketika operasi itu, tiga kren terpaksa digunakan untuk mengangkat struktur yang menimpa van sebelum semua mangsa dapat dikeluarkan,” katanya.

Kesemua mangsa merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun itu dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ujarnya, kerjaya sebagai anggota bomba merupakan satu kerja murni dalam membantu masyarakat.

"Golongan muda yang mahu menjadi anggota bomba adalah pilihan yang tepat kerana mereka akan mendapat latihan untuk menghadiri operasi membantu orang.

"Saya juga berharap masyarakat di luar sana akan lebih berwaspada serta sentiasa memikirkan aspek keselamatan dan memastikan sistem kebakaran di tempat kerja atau di rumah berada dalam keadaan baik,” ujarnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca