BERBAKI sebulan lagi, semboyan ‘peperangan’ parti-parti politik mendepani Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bakal dibunyikan bila-bila... Klik di sini untuk terus membaca

BERBAKI sebulan lagi, semboyan ‘peperangan’ parti-parti politik mendepani Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bakal dibunyikan bila-bila masa.

Setakat ini, Perikatan Nasional (PN) diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat sedikit ke hadapan dari aspek penyusunan strategi politik mendepani pilihan raya negeri berkenaan.

Menggunakan semula acuan PRU15 yang memberi kejayaan besar kepada PN, koalisi itu bersetuju meneruskan strategi agihan kerusi memihak kepada Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala kerusi DUN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) dijangka bakal dikongsi Bersatu, Pas mahupun Gerakan.

Lebih menarik, Pas lebih awal mengumumkan pengekalan penggunaan lambang ‘bulan’ sebagai logo pilihan raya calon-calon PN di Terengganu dan Kelantan, sekali gus mengundang reaksi balas serupa daripada koalisi mega baharu PH dan Barisan Nasional (BN) untuk mempraktikkan kaedah serupa dengan mempertimbangkan logo BN iaitu ‘dacing’.

Di peringkat koalisi mega PH-BN menerusi Kerajaan Perpaduan pula, Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan proses rundingan kerusi pilihan raya melibatkan dua koalisi itu hampir selesai dan mungkin dimuktamadkan menjelang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad ini.

Berdasarkan semakan Sinar Premium, BN kini memiliki 42 kerusi DUN di enam negeri berkenaan dengan kerusi terbanyak adalah di Negeri Sembilan iaitu 16 DUN, diikuti Terengganu (10 DUN), Kelantan (tujuh DUN), Selangor (lima DUN) serta Pulau Pinang dan Kedah (masing-masing dua DUN).

Unjuran lambang pilihan raya digunakan koalisi BN-PH bagi mendepani PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
Unjuran lambang pilihan raya digunakan koalisi BN-PH bagi mendepani PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

Bagi PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, koalisi itu memiliki 117 daripada keseluruhan 244 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan pada pilihan raya DUN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan kelak.

Kerusi DUN terbanyak PH adalah di negeri Selangor dengan jumlah 44 DUN, diikuti Pulau Pinang (33 DUN), Negeri Sembilan (20 DUN) dan Kedah (10 DUN). Malang bagi PH apabila koalisi itu gagal memiliki sebarang kerusi DUN di Terengganu dan Kelantan.

Sekiranya kaedah status quo agihan kerusi pilihan raya dimuktamadkan koalisi mega BN-PH, jumlah pertindihan kerusi DUN di antara dua koalisi berkenaan yang memerlukan penyelesaian rundingan adalah 38 kerusi DUN di Kelantan, Kedah (23 DUN), Terengganu (22 DUN) serta lima kerusi DUN masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang.

Hal ini kerana kerusi DUN berkenaan ketika ini disandang oleh PN mahu pun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

AGIHAN KERUSI

Sementara itu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengakui pendekatan agihan kerusi pilihan raya secara status quo diguna pakai parti terlebih dahulu dalam menentukan penyediaan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mendepani PRN negeri berkenaan.

Datuk Seri Jalaluddin Alias
Datuk Seri Jalaluddin Alias

"Saya turut difahamkan keputusan akhir agihan kerusi pilihan raya BN-PH dijangka dimuktamadkan paling lewat pada akhir bulan Mei.

"Segala kata putus bakal dimuktamadkan Majlis Tertinggi BN termasuk tanda-tanya sama ada MCA akan diberikan kerusi bertanding PRN kali ini sebagaimana MIC,” jelas Ahli Parlimen Jelebu itu kepada Sinar Premium.

Pandangan Jalaluddin turut disahkan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menegaskan sememangnya formula agihan kerusi PRN berasaskan status quo yang menjadi penekanan kedua-dua koalisi sewaktu perundingan dijalankan.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Sinar Harian, ROSLI TALIB.
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Sinar Harian, ROSLI TALIB.

"Kalau kerusi DUN disandang BN, PH pastinya tidak akan kacau. Cuma kalau berlaku pertindihan kerusi di mana DUN itu tidak dimenangi kedua-dua pihak, rundingan BN-PH akan berlangsung di peringkat Sekretariat Perundingan Kerajaan Perpaduan.

"Sudah pasti rundingan itu akan menentukan parti mana yang mempunyai asas rekod pencapaian dan sokongan akar umbi lebih baik untuk dipilih bertanding mewakili koalisi BN-PH.

"Saya difahamkan rundingan kerusi pilihan raya di peringkat PH sudah selesai. Cuma sekarang hanya berlangsung proses perundingan dengan BN.

"Sememangnya jumlah kerusi bertindih di setiap negeri adalah banyak, namun saya percaya kebijaksanaan kepimpinan BN-PH pasti akan menyelesaikannya dengan cermat,” ujar Pengerusi PH Perak itu.

Mengenai cadangan penggunaan lambang BN atau ‘dacing’ untuk PRN di Terengganu dan Kelantan, Mujahid mengesahkan perkara itu sememangnya dibincangkan di peringkat PH dan terpulang kepada Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk memutuskannya.

Sekiranya penggunaan lambang BN mampu meningkatkan peluang kemenangan parti-parti dalam PH di dua negeri Pantai Timur, bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu melihat tiada salahnya koalisi BN-PH mengulangi strategi PH menggunakan logo PKR pada PRU14.

JANGAN ULANG KESILAPAN

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula mengingatkan koalisi BN-PH agar tidak mengulangi insiden kerajaan campuran PN-BN sewaktu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mana parti-parti membentuk kerajaan Pusat bertempur sesama sendiri sewaktu bertanding PRN Melaka dan Johor pada tahun 2021 dan 2022.

Hassan Abdul Karim

Tegas beliau, senario sebegitu tidak boleh berlaku sama sekali di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan ia memberi isyarat integriti kewibawaan Kerajaan Perpaduan makin goyang.

"Saya juga melihat PRN enam negeri ini ujian besar kepada Anwar sama ada beliau mampu mengulangi sentuhan magis Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak yang berjaya mewujudkan pakatan politik bersifat supra coalition menerusi BN pada tahun 1974 untuk jangka masa panjang,” jelasnya.

Bagi Hassan, persoalan paling utama adalah sanggupkah calon-calon PH yang masih bergelut dengan isu kebolehpindahan sokongan pengundi BN kepada mereka, akan berbesar hati bertanding di Kelantan dan Terengganu menggunakan logo BN?

"Ini satu isu psikologi besar yang perlu dilalui PH.

"Berbeza dengan Bersatu yang sanggup menggunakan lambang Pas disebabkan sejarah parti itu agak pragmatik dan fleksibel, pendirian parti-parti PH hakikatnya berbeza,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca