FILEM yang memaparkan elemen kecanggihan sains, teknologi dan robotik adalah antara kategori filem yang digemari ramai sejak dahulu lagi. Ia tidak pernah pudar daripada ingatan penonton.
Banyak filem lama sejak tahun 1980-an yang terus sohor sehingga kini kerana memaparkan banyak elemen sains dan teknologi yang dianggap sangat futuristik.
Misalnya, kereta terbang dalam filem Back To The Future dan Minority Report. Robot yang boleh berfikir dan bergerak sendiri seperti Starwars, Bicentennial Man, I Robot serta banyak lagi filem produksi Hollywood yang berjaya memukau penonton dengan elemen kecanggihan teknologi mempesonakan.
Salah satu francais filem retro yang masih masyhur sehingga kini ialah filem Terminator. Ia adalah antara filem sains fiksyen yang cukup ikonik bukan sahaja kerana jalan cerita sangat sensasi tetapi juga mesej tersirat yang dibawa iaitu dilema antara manusia dan teknologi canggih dicipta oleh manusia, namun akhirnya berada di luar kawalan manusia yang menciptanya.
Francais filem Terminator bermula pada 1984, dengan filem pertamanya diarahkan oleh pengarah filem terkenal, James Cameron. Beliau juga merupakan pengarah filem-filem klasik seperti Titanic dan Avatar, padat dengan pelbagai unsur teknologi serta kemanusiaan yang sering berada dalam konflik emosi dan moral.
Pakar sains dan teknologi Artificial Intelligence atau AI, Dr Geoffrey Hinton dijulang sebagai saintis tersohor yang menemukan teknologi AI dengan manusia sejagat.
Beliau mencipta teknologi AI pada 2012 dan menjadi asas kepada kelangsungan evolusi sistem AI yang umumnya dianggap sebagai pemangkin kemajuan masa depan sains serta teknologi dunia.
Ironinya, walaupun dengan ketokohan dan kehebatan Dr Hinton sebagai seorang pakar AI, akhirnya beliau rasa amat kesal dengan penemuan serta evolusi teknologi tersebut.
Baru-baru ini, Dr Hinton mengambil keputusan meletakkan jawatannya di syarikat Google setelah berkhidmat lebih satu dekad.
Kini beliau merupakan antara suara antagonis yang menentang dominasi AI dalam kehidupan manusia sejagat kerana risiko dan ancaman terhadap manusia di sebalik dominasi tersebut.
Dalam satu temu ramah mengenai isu AI, Dr Hinton berpendapat isu-isu besar seperti perubahan iklim dunia boleh diatasi dengan kaedah seperti pengurangan pembakaran karbon iaitu satu solusi yang boleh dilaksanakan.
Namun, beliau tidak dapat menjangka apa yang manusia dapat lakukan sekiranya AI diberi peranan dominasi dalam mempengaruhi kehidupan manusia.
Seperti watak-watak utama filem Terminator, Dr Hinton berada dalam satu konflik rasional yang tidak dapat dirungkaikan oleh kebijak-sanaannya sendiri.
Walaupun beliau amat bimbang dengan risiko ancaman yang dibawa oleh AI terhadap manusia sejagat, beliau tetap berpendirian bahawa kajian dan pembangunan teknologi AI tidak perlu dihentikan kerana cara itu tidak realistik. Manusia hanya perlu berusaha lebih gigih untuk memikirkan kaedah yang terbaik.
Dalam pengakhiran filem Terminator, mesin dan robot yang boleh berfikiran sendiri akan senantiasa memilih antara melindungi atau menghapuskan manusia dari muka bumi.
Manusia pula hanya mampu berdepan dengan musibah yang mereka sudah nampak dari jauh tetapi tetap tidak dapat mengelaknya. Filem tersebut adalah fantasi tetapi AI sudah menjadi realiti.
Klik di sini untuk terus membaca