PADA Februari 2022, seluruh negara digemparkan dengan keputusan mahkamah timbang tara Perancis yang mengarahkan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu. Penimbangtara Gonzalo Stampa memutuskan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Februari 2022, seluruh negara digemparkan dengan keputusan mahkamah timbang tara Perancis yang mengarahkan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu.

Penimbangtara Gonzalo Stampa memutuskan Malaysia melanggar perjanjian 1878 di antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah.

Malaysia kemudiannya mencabar perintah timbang tara di Perancis dan Sepanyol, ekoran itu Mahkamah Perancis memberikan perintah penangguhan terhadap anugerah tersebut sementara menunggu keputusan dakwaan Malaysia bahawa perintah berkenaan telah melanggar kedaulatannya ke atas Sabah.

Kejadian tersebut ibarat luka lama berdarah kembali dalam peristiwa Lahad Datu yang meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu.

Tragedi pencerobohan berlaku selepas 235 pengganas Sulu yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 11 Februari 2013.

Kumpulan tersebut yang menggelar diri mereka sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara’ telah dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.

Angkatan ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram itu yang merupakan saudara lelaki kepada ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III menceroboh masuk Sabah dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.

Kehadiran sebahagian pengganas itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan dan mereka membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera serta bersenjata api berkampung di Kampung Tanduo.

Ekoran daripada peristiwa itulah, kerajaan membuat keputusan dengan bertindak menghentikan bayaran tahunan sebanyak RM5,300 kepada keturunan Sultan Sulu.

Susulan itu, sebuah firma guaman di London yang mewakili sekumpulan sembilan orang berpangkalan di Filipina, memfailkan siri saman undang-undang terhadap kerajaan Malaysia, berikutan tuntutan timbang tara AS$15 bilion yang diperolehnya terhadap Malaysia.

Satu perkara yang menarik perhatian ialah kumpulan yang membuat tuntutan itu bukan sahaja pernah tinggal di Malaysia, malah mereka juga belajar di universiti awam dan bekerja dalam sektor awam.

Jadi, inilah perkara yang amat kita bimbangkan. Sebab itulah amat penting untuk menjadi ingatan dan pedoman kepada kita semua bahawa walaupun Malaysia sebuah negara aman damai tetapi jika kita tidak berwaspada, ada musuh yang akan sentiasa mengambil kesempatan.

Ini terbukti ketika negara berada dalam sengketa politik yang paling getir dalam sejarah, musuh telah melakukan 'serangan' tidak disangka-sangka sehingga memberikan kesan amat besar kepada kedaulatan serta ekonomi negara.

Atas sebab itulah, kestabilan merupakan perkara yang amat penting kepada kita.

Jika kita imbas kembali pada 2021, apabila Malaysia berada pada kedudukan politik paling lemah, yang menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh sebaik sahaja Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongannya pada 8 Julai 2021.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Ogos 2021, sekali gus melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian telah mengambil alih jawatan tersebut sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ismail Sabri telah melakukan tindakan bijak dan berjaya meredakan suhu panas politik negara dengan mengambil langkah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan parti pembangkang yang ketika itu diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 September 2021.

Kini negara diterajui oleh sebuah Kerajaan Perpaduan dengan jumlah majoriti lebih kuat supaya dapat menghabiskan penggal pentadbiran selama lima tahun.

Kita berharap dengan jumlah majoriti yang kuat akan membolehkan kerajaan ini dapat bertahan dan menjamin kestabilan seperti yang kita semua impikan.

Pada masa sama kita juga berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dapat terus mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman waris Sultan Sulu.

Klik di sini untuk terus membaca