SHAH ALAM - Pas amat 'berterima kasih' jika koalisi mega di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), bersepakat menggunakan lambang BN iaitu 'dacing' sebagai logo tunggal mereka... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas amat 'berterima kasih' jika koalisi mega di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), bersepakat menggunakan lambang BN iaitu 'dacing' sebagai logo tunggal mereka semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tidak lama lagi.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas dan Perikatan Nasional (PN) berharap penggunaan logo BN oleh seteru mereka itu bukan setakat termaktub di Kelantan dan Terengganu, bahkan perlu diperluaskan ke seluruh empat negeri lain iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Kita memang mengalu-alukan jika PH-BN sepakat mahu menggunakan logo dacing di semua negeri bukan hanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah, malah merangkumi negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang kini dikuasai PH.

"Pas juga mahu tahu berapa jumlah dan di manakah kerusi bakal diberikan laluan oleh PH kepada BN untuk bertanding, selain kawasan disandang oleh mereka sekarang," katanya ketika dihubungi Sinar Premium pada Jumaat.

Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) berkata demikian ketika mengulas jangkaan kemungkinan gabungan PH-BN menggunakan logo 'dacing' pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu kelak, sebagai usaha menarik pengundi Melayu dan atas pagar menyokong gabungan terbabit.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkeyakinan Pas mampu mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah serta semua kerusi DUN dikuasai mereka di tiga negeri ditadbir PH.

Lebih menarik, Idris turut menaruh keyakinan jentera pilihan raya PN dan Pas mempunyai potensi besar untuk menang lebih banyak kerusi DUN, sekali gus merampas pentadbiran kerajaan negeri di Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh.

"Kalau kita lihat pola sokongan pengundi terutama kaum Melayu Islam sekarang, mereka masih bersama dengan PN. Proses pembahagian kerusi antara parti komponen PN pun berjalan lancar dengan mengguna pakai strategi agihan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan dijangka selesai sebelum hari penamaan calon," katanya.

Terdahulu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan parti itu 'mengalu-alukan' koalisi BN-PH menggunakan logo BN semasa PRN terutama di Terengganu dan Kelantan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Nik Dir Nik Wan Ku dipetik sebagai berkata, BN negeri tiada halangan jika PH mahu menggunakan logo dacing untuk bertanding dalam PRN enam negeri nanti.

Klik di sini untuk terus membaca