KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung Isnin ini dijangka menarik perhatian.Konvensyen menghimpunkan 20 parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini dengan kehadiran 10,000 perwakilan mengundang minat untuk melihat... Klik di sini untuk terus membaca

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung Isnin ini dijangka menarik perhatian.

Konvensyen menghimpunkan 20 parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini dengan kehadiran 10,000 perwakilan mengundang minat untuk melihat beberapa aspek signifikan kepada landskap politik negara.

Pertama, kepentingan konvensyen itu kepada landskap politik negara dan apakah antara isu akan diketengahkan?

Kedua, apakah peranan parti-parti politik yang menyertainya dan bagaimana ia akan menyumbang kepada pengukuhan pentadbiran serta tadbir urus Kerajaan Perpaduan?

Ketiga, apakah implikasi jangka panjang konvensyen untuk kestabilan politik negara terutama apabila enam Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir? Tiga perkara ini barangkali relevan untuk dilihat menjelang konvensyen.

Konvensyen tersebut adalah untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama sehingga ke peringkat akar umbi antara pelbagai parti membentuk kerajaan.

Ia bertujuan mewujudkan persefahaman dan kerjasama lebih kukuh dengan matlamat memastikan kestabilan politik negara dapat dikekalkan. Alasannya jelas kerana ia gabungan kerajaan terdiri daripada bekas musuh ketat dengan sejarah permusuhan politik yang panjang.

Justeru, moleklah konvensyen itu menjadi platform membina persefahaman dan keserasian.

Oleh itu, tiga isu tersebut harus menjadi hasil (output) konvensyen. Pertama, pembinaan asas kerangka yang jelas tentang bagaimana Kerajaan Perpaduan harus dijalankan berdasarkan agenda bersama meneruskan kesinambungan dan kestabilan politik negara.

Kedua, membentuk konsensus semua pihak bagi mengelak sebarang konfrontasi mengenai isu-isu sensitif yang berpotensi memecahkan perpaduan sambil masih mengekalkan status quo masing-masing.

Ketiga, menghasilkan modus operandi atau tata kelakuan Kerajaan Perpaduan untuk beroperasi sama ada sebagai kerajaan dan paling penting untuk enam PRN akan datang.

Keputusan dan prestasi pada PRN sangat penting bagi menentukan jangka hayat Kerajaan Perpaduan seterusnya. Sebab itu, semua parti terlibat mesti main peranan dan sama-sama menyumbang jika mahu menjayakannya.

Terdapat empat peranan harus dilakukan oleh setiap parti semasa konvensyen. Pertama, mengusahakan formula ampuh (working formula) untuk mengukuh dan mengekalkan perpaduan, sekali gus menjadikan Kerajaan Perpaduan sebuah pakatan berkesan (working coalition) dan meyakinkan di mata rakyat.

Kedua, menterjemahkan kerjasama elit seperti kelaziman model gabungan politik yang berjaya apabila setiap elit kaum mencerminkan idea politik rencam sederhana, progresif dan tidak fanatik kepada kaum, agama atau ideologi tertentu bagi mengimbangi naratif pihak lawan.

Ketiga, gunakan konvensyen untuk menjelaskan kepada setiap akar umbi tentang kepentingan dan hala tuju parti masing-masing sebagai ahli gabungan politik serta kerajaan yang baru ditubuhkan. Ia penting dilakukan dan mesti pantas kerana di peringkat ini masih belum ada usaha penerangan akar umbi dilakukan secara serius oleh mana-mana pihak.

Terakhir, mesti menghasilkan manifesto bersama sebagai komitmen awal kepada proses damai rakyat secara amnya tetapi juga untuk PRN.

Hal itu mestilah sekurang-kurangnya membawa persetujuan bersama bahawa gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan memasuki PRN dalam keadaan tersusun dan teratur, sekurang-kurangnya tidak bersaing sesama sendiri kalaupun bukan sebagai sebuah pasukan.

Bagaimanapun, konvensyen itu nanti dapat membentuk penyatuan yang diinginkan, dua perkara berikut dilihat berpotensi menentukan jangka hayat Kerajaan Perpaduan.

Pertama, keputusan enam PRN. Walaupun tiada kaitan langsung dengan Kerajaan Persekutuan, namun ia masih penting dalam perspektif persepsi Melayu-Islam semasa kerana prestasi buruk akan mengukuhkan naratif bahawa kerajaan kurang sokongan orang Melayu, seterusnya mungkin boleh menggugat kestabilan gabungan berkenaan dalam konteks politik UMNO sebagai parti Melayu terbesar negara.

Kedua, kes ‘kluster mahkamah’ yang berterusan dan masih menjadi beban bukan sahaja kepada UMNO tetapi Pakatan Harapan (PH) sendiri sebagai tunjang kerajaan. Isu itu menjadi liabiliti kepada komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang baik dan anti rasuah dijanjikan PH yang sedikit sebanyak menjejaskan sokongan pengundi tradisi mereka.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca