SHAH ALAM - Pada saat koalisi mega Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sedang memuktamadkan proses rundingan agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN), terdapat spekulasi mendakwa BN berpeluang mengambil alih jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dari tangan PH sekiranya mereka menawan sepenuhnya negeri itu.
Sumber UMNO yang dekat dengan kepimpinan BN memberitahu, kemungkinan BN diberi ruang mengambil alih jawatan itu wujud disebabkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal ditandingi koalisi tersebut secara single party iaitu menerusi UMNO adalah berjumlah 15 kerusi.
"Dengan calon Menteri Besar Negeri Sembilan secara tradisinya mesti dalam kalangan orang Melayu, PKR sebelum ini diberi lampu hijau oleh PH untuk dilantik ke jawatan berkenaan kerana kerusi DUN dimenangi mereka kedua terbanyak selepas DAP pada PRU14.
"Jika UMNO-BN berjaya mengekalkan penguasaan 16 kerusi DUN termasuk satu kerusi milik MIC pada pilihan raya, saya tidak tolak kemungkinan PH bersedia memberi laluan kepada BN menjadi calon menteri besar dengan syarat negeri itu kekal dimenangi koalisi Kerajaan Perpaduan.
"Perbincangan ke arah itu difahamkan wujud secara tidak rasmi, dengan kesudian PH bersikap terbuka dengan memberi laluan kepada BN lebih dianggap sebagai timbal balas atas kesanggupan BN bertolak ansur untuk tidak menuntut banyak kerusi di Selangor, selain memberi tambahan kerusi kepada PH di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” ujar sumber enggan dikenali itu.
Namun, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sewaktu dihubungi Sinar Premium mengetepikan spekulasi itu dan menganggap status quo pelantikan jawatan nombor satu kerajaan negeri tersebut setakat ini kekal milik PH.
"Lebih baik perkara berkaitan keputusan peletakan calon menteri besar ditentukan sepenuhnya oleh pucuk kepimpinan BN-PH menerusi Sekretariat Perundingan kerajaan Perpaduan.
"Kalau isu sebegini dibahaskan di peringkat negeri, ia akan menyusahkan jentera pilihan raya BN mahu pun PH. Kita kena faham batas sensitiviti pengikut kedua-dua koalisi,” jelas Ahli Parlimen Jelebu itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan PH untuk tidak terlalu berlembut dengan UMNO-BN dalam mengendalikan proses rundingan kerusi pilihan raya dan percaturan peletakan calon poster boy pada PRN nanti.
Beliau bimbang sikap terlalu ‘bermurah hati’ kepada rakan koalisi baharu yang belum teruji kesetiaannya akan memudaratkan masa hadapan PH, sebagaimana nasib dialami PKR yang terpaksa mengorbankan banyak kerusi DUN dan Parlimen Johor kepada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Bagus ada kerjasama BN-PH, tetapi janganlah sampai negeri dipimpin PH terlepas ke dakapan UMNO. Kena ingat, bila kita masuk bilik rundingan, PH membawa sokongan 84 ahli Parlimen berbanding BN hanya 30,” tegas Hassan.
Klik di sini untuk terus membaca