SHAH ALAM - Pertemuan singkat bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat, bukan bermakna anak bekas Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bakal meninggalkan Pas.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau sebaliknya percaya pertemuan Anwar, Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh dan abangnya, Nik Omar yang kini bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiada kaitan dengan usaha memujuk bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu supaya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Hal ini kerana Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO berkeyakinan Nik Abduh akan terus kekal istiqamah sebagai ahli Pas dan sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.
Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, tidak menolak kemungkinan Nik Abduh hanya berminat bertanding pada PRN Kelantan atas tiket Pas setelah anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, menolak tawaran bertanding di peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pertemuan kedua-dua anak tokoh ulama Pas itu meskipun berlainan parti turut memberi petanda bahawa berbeza pendirian politik tidak akan sesekali mengundang terputusnya hubungan dalam kalangan ahli keluarga.
"Politik adalah ijtihad tetapi yang menyatukan semua ialah Islam dan persaudaraan kemanusiaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium pada Sabtu.
Mohd Khairuddin mengulas spekulasi Nik Abduh mungkin beralih angin dan bakal bertanding atas tiket PH pada PRN Kelantan nanti, susulan pertemuannya dengan Anwar dan Nik Omar di Kota Bharu sempena lawatan Perdana Menteri ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Desas-desus itu tersebar luas susulan tular beberapa keping gambar menunjukkan pertemuan mesra Anwar, Nik Abduh, Nik Omar dan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin di media sosial sejak malam Jumaat lalu.
Mohd Khairuddin berkata, beliau tidak hairan jika isu dan gambar pertemuan Anwar, Nik Abduh dan Nik Omar tular dan hangat diperdebatkan di media sosial kerana peristiwa itu adalah sesuatu bersejarah dan sangat bermakna ke arah perpaduan rakyat tanpa mengira perbezaan pendirian politik.
Beliau berkata, rakyat dan kerajaan Pas Kelantan sepatutnya mencontohi sifat Nik Abduh yang berjiwa besar untuk kekal menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Pusat demi meneruskan kesinambungan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di negeri berkenaan.
"Walaupun Nik Abduh tidak memegang sebarang jawatan utama dalam Pas sekarang tetapi suara dan pengaruh beliau dalam parti masih signifikan.
"Politiking serang menyerang dalam kalangan pemimpin yang berbeza fahaman politik perlu diredakan. Hidupkan budaya berbincang dan kritikan ilmu tanpa menyasarkan peribadi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca