SHAH ALAM - Menjual atau membeli kenderaan sambung bayar merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang meskipun wujud perjanjian antara penjual dan pemilik kenderaan baru. Peguam, Datuk Hishamuddin Hashim berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menjual atau membeli kenderaan sambung bayar merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang meskipun wujud perjanjian antara penjual dan pemilik kenderaan baru.

Peguam, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967.

Beliau berkata, akta berkenaan melarang sebarang kontrak jual beli, menjual kenderaan atau melupuskan kenderaan kepada pihak ketiga dan ia dikira sebagai pelanggaran di bawah akta berkenaan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau kepada Sinar Ahad.

"Sebab itu ia dinamakan perjanjian sewa beli. Jadi kontrak beli sambung bayar tidak sah di sisi undang-undang kerana melanggar Seksyen 24 Akta Kontrak 1950.

"Apa sahaja kontrak yang melanggari Akta Sewa Beli 1967, perjanjian jual beli adalah tidak sah kerana ia melarang pelupusan ataupun penjualan kenderaan kepada pihak ketiga kerana pemilik sebenarnya adalah pihak bank,” ujar beliau.

Jelasnya, kontrak itu tidak dapat melindungi dan menjadi risiko kepada pembeli.

"Antara masalah yang bakal dihadapi pembeli sambung bayar ini ialah kenderaan itu tidak menjamin akan menjadi haknya termasuk risiko disenarai hitam bank jika bayaran tidak dibuat.

"Jika penyewa sebenar muflis, kenderaan itu akan ditarik atau diserah balik kepada pihak bank,” katanya.

Tambah beliau, antara risiko lain yang boleh berlaku ialah apabila penyewa sebenar meninggal dunia, kereta berkenaan akan menjadi harta kepada waris penjual.

Sementara itu, penganalisis automatif, Shamsul Yunos berkata, sambung bayar ialah satu proses yang berlaku di luar perlindungan undang-undang.

Beliau berkata, kaedah itu bergantung seratus peratus kepada kedua-dua pihak mempercayai satu sama lain.

"Jika mereka tak memenuhi janji, proses undang undang tidak dapat diambil dan kereta tersebut adalah milik pembeli asal atau peminjam bank.

"Dalam erti kata lain, kedua -dua pihak menghadapi risiko, pihak yang lagi satu tidak memenuhi janji.

"Mereka mungkin tidak mempunyai saluran undang-undang untuk mengejar pihak yang lagi satu untuk menuntut hak mereka,” jelasnya.

Risiko Sambung Bayar

- Pemilik asal boleh membuat pembiayaan semula pinjaman (refinance) terhadap kenderaan berkenaan.

- Berlaku penipuan apabila pemilik asal atau pihak kedai tidak buat pembayaran pada bank.

- Pemilik asal boleh menuntut semula kenderaan susulan tiada nama pemilik ditukar.

- Waris kepada pemilik asal kenderaan yang telah meninggal boleh menuntut kembali kereta yang dijual berkenaan.

- Kenderaan yang dibeli itu adalah kenderaan klon.

- Tidak dilindungi oleh insurans jika hak milik kenderaan itu bukan atas nama mereka.

Klik di sini untuk terus membaca