SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) enggan menerima sebarang aduan atau membantu orang ramai yang terlibat dengan kes kereta sambung bayar.
Pengarah Komunikasi dan Mobilisasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saral James berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan undang-undang di negara ini.
"Setakat ini FOMCA menolak sebarang aduan berkaitan kenderaan sambung bayar kerana ia jelas menyalahi undang-undang,” katanya kepada Sinar Ahad.
"Kereta itu masih didaftarkan atas nama pemilik asal, jika ia diserahkan kepada pihak lain mungkin ia boleh disalah guna termasuk melakukan perbuatan jenayah dan sebagainya.
"Jadi, yang kena tanggung pemilik asal. Begitu juga dengan mereka yang setuju untuk sambung bayar (pembeli), kereta itu masih belum sah bertukar tangan walaupun bayaran pinjaman bank sudah selesai,” ujarnya.
Jelas beliau, risiko tindakan itu amat tinggi kerana kenderaan tersebut akan berdepan masalah sekiranya mengalami kemalangan atau disaman pihak berkuasa.
Menurutnya, sekiranya kejadian tidak diingini berlaku, pemilik asal kenderaan berkemungkinan tidak akan mendapat pampasan daripada pihak insurans.
Sehubungan beliau berharap Kementerian Komunikasi dan Digital memantau dan menutup mana-mana laman web dan akaun di media sosial yang secara terang-terangan mempromosikan kenderaan sambung bayar kepada pengguna.
"Ia adalah perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan. Kita tidak mahu orang ramai terus terperdaya dengan iklan-iklan yang akhirnya akan menjerat diri sendiri,” ujar beliau.
Tambah Saral, kaedah paling selamat adalah dengan membeli kenderaan terpakai yang sah dan boleh ditukar hak milik.
Klik di sini untuk terus membaca