SHAH ALAM - Seorang pembeli kereta sambung bayar berdepan kerugian selepas pemilik asalnya membuat pembiayaan semula kenderaan tersebut.
Kejadian itu diceritakan semula oleh seorang penjual kereta terpakai, Mohd Khairi Shafie, 35, tentang nasib yang menimpa seorang pembeli kenderaan itu.
"Memang cara ini memberi risiko tinggi kepada pembeli dan ramai yang selalu terkena (ditipu). Ada yang membuat sambung bayar pada pemilik atau pihak kedai tapi mereka tak bayar kepada bank sehingga menyebabkan kereta ditarik balik.
"Selain itu, ada juga kes pembeli yang hampir habis bayar pinjaman kereta itu, tetapi secara tiba-tiba pemilik asal membuat refinance sebanyak RM20,000.
"Pembeli sepatutnya sudah habis bayar perlu lagi membayar balik RM20,000 selain menjelaskan pinjaman untuk beberapa tahun lagi,” katanya kepada Sinar Ahad.
"Apabila pemilik asal meninggal dunia, kenderaan berkenaan akan dipindah milik kepada waris,” kata lelaki itu.
Ujarnya, kebanyakan pembeli yang membeli kenderaan secara sambung bayar itu merupakan golongan yang disenarai hitam untuk membuat pinjaman selain pinjaman sukar mendapat pinjaman.
Menurutnya, perkara sedemikian menyebabkan pembeli mengambil jalan pintas dengan membuat bayaran kereta secara sambung bayar kerana prosesnya lebih mudah dan cepat.
"Bagaimanapun, bayaran muka dikenakan agak tinggi untuk membeli kereta secara sambung bayar ini dan biasanya ia berjumlah sebanyak RM10,000 ke atas.
"Memang cara seperti ini salah dan ada kesan buruk pada masa akan datang. Pembeli sanggup ambil risiko, kena tanggunglah risiko itu sendiri sebab sudah tahu kesannya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, dia tidak berminat untuk menjual menggunakan kaedah tersebut kerana bukan sahaja berisiko, malah menyalahi undang-undang.
Klik di sini untuk terus membaca