PADA hari sepatutnya kontrak perkhidmatan beliau selaku Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tamat, Tan Sri Azam Baki mencetus kejutan apabila dilantik semula memegang jawatan itu untuk tempoh setahun lagi berkuat kuasa pada... Klik di sini untuk terus membaca

PADA hari sepatutnya kontrak perkhidmatan beliau selaku Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tamat, Tan Sri Azam Baki mencetus kejutan apabila dilantik semula memegang jawatan itu untuk tempoh setahun lagi berkuat kuasa pada Jumaat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan semula itu dan perkara tersebut selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Menariknya, berita pelantikan semula Azam yang mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya itu telah mengundang reaksi bercampur baur daripada pelbagai pihak.

Mengimbas insiden tercetus pada tahun lalu, Azam, 60, dikatakan mempunyai pemilikan saham dengan jumlah melampau hingga menimbulkan gesaan peletakan jawatan beliau daripada posisi tertinggi badan pencegah rasuah itu.

Namun peletakan jawatan tersebut tidak berlaku, bahkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) turut berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa saham-saham terbabit adalah milik adiknya yang dibeli menggunakan akaun beliau. Bagaimanapun, kejayaan Azam dalam membawa kes-kes berprofil tinggi ke muka pengadilan juga perlu diberikan pujian.

Ini membuktikan bahawa beliau mempunyai keberanian yang tinggi dan tidak gentar dengan sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Mungkin atas sebab itu, khidmat Azam disambung semula dan beliau masih perlu menyelesaikan tugas yang masih belum selesai.

PERTIMBANGAN

Bagi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pelantikan semula Azam selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai asas yang tersendiri.

"Pelantikan semula itu ada asas kukuh dan pertimbangannya yang tersendiri.

"Bagi saya, kontrak Azam dipanjangkan supaya tidak terganggu apa-apa kes yang mungkin sedang berjalan dan memerlukan khidmat beliau selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM,” ujarnya ringkas kepada Sinar Premium.

Pada masa sama, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga tidak menganggap lanjutan kontrak Azam selama setahun sebagai melanggar apa-apa prinsip kerajaan seperti didakwa pihak yang mempersoalkan pelantikan semula itu.

Menurut beliau lagi, tiada siapa terkecuali daripada berdepan pendakwaan dan proses undang-undang sekiranya terbukti bersalah terlibat dalam sebarang bentuk salah laku.

"Kita tidak berkompromi dalam hal seperti ini malah menteri seperti kami pun terdedah kepada pendakwaan jika terbukti ada kes yang kukuh.

"Malah sesiapa pun termasuk Azam masih terdedah kepada pendakwaan walaupun sudah tidak memegang jawatan kelak, jika ada kes yang terbukti,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi merangkap bekas ahli panel perundingan SPRM, Dr Edmund Terence Gomez pula berpandangan, bebas dan telus merupakan dua kata kunci utama dalam isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Berhubung pelantikan semula beliau (Azam) yang diketahui sebelum ini pernah terpalit dengan isu pemilikan saham, sekurang-kurangnya perlu diadakan proses perbincangan di peringkat kabinet tentang bagaimana proses pelantikan semula tersebut perlu dijalankan,” ujarnya.

Beliau berkata, hal tersebut bagi memastikan reputasi SPRM sebagai sebuah badan bebas yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak tetap terus terjaga.

"Kita semua menyokong sepenuhnya aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memerangi barah rasuah yang semakin berleluasa dalam negara.

"Selari dengan itu, imej dan integriti SPRM sebagai badan antirasuah utama negara termasuk Ketua Pesuruhjaya harus berada pada tahap yang tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak. Itu adalah sangat mustahak dipertahankan,” tegas beliau.

Menurutnya, terdapat kebimbangan keputusan melantik semula Azam berpotensi melemahkan kempen menghapuskan rasuah yang sentiasa dilaung-laungkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar selama ini.

Katanya, dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut pernah menyuarakan kepentingan melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui Parlimen bagi menjaga ketelusan pelantikan.

BUKAN ISU

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan pelantikan semula Azam tidak akan menimbulkan sebarang perspektif negatif sekiranya isu saham yang mencetus kontroversi politik pada tahun lalu diselesaikan secara muktamad.

"Sekiranya isu tersebut diselesaikan sehingga muktamad berlandaskan konsep kedaulatan undang-undang, maka tidak akan timbul masalah untuk melantik semula beliau,” kata beliau.

Menurutnya, pelantikan semula yang dilakukan tanpa penyelesaian ini turut memberi implikasi dan tamparan terhadap falsafah kerajaan yang melaungkan reformasi dan pematuhan kedaulatan undang-undang.

"Sepatutnya segala isu berkaitan kontroversi yang melanda Azam perlu diselesaikan terlebih dahulu dan seterusnya diumumkan kepada rakyat.

"Jika ini dapat dilakukan ia sekali gus membuktikan kejujuran dan kesungguhan dalam menampilkan politik suci kepada rakyat,” ujarnya.

Ditanya mengapa pelantikan semula tersebut tetap dilakukan, beliau berkata, hanya Anwar yang mempunyai jawapannya.

Klik di sini untuk terus membaca