Parlimen Malaysia tergantung buat kali pertama selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) diumumkan. Mana-mana parti gabungan memerlukan 112 kerusi untuk menubuhkan kerajaan. Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 kerusi berbanding Perikatan Nasional (PN) 74 kerusi.
Oleh kerana masing-masing tidak bersama, maka mana-mana blok yang berjaya mendapat sokongan blok lain mampu menubuhkan kerajaan.
Dalam keadaan seperti ini, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Muda (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas (1) akur dengan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membina ‘Kerajaan Perpaduan’. Angkanya kini adalah 148, penggabungan besar kerajaan campuran atas prinsip ‘kestabilan politik’.
Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan untuk memulihkan semula kestabilan, keadaan menentu dan keyakinan serta kepercayaan oleh rakyat ke atas institusi dan struktur politik, ekonomi serta sosial tanah air. Kebijaksanaan YDPA untuk merungkai kemelut yang melanda perlu diberikan penghormatan. Ia juga memerlukan wakil rakyat untuk beristiqamah dan bergerak ke hadapan.
Suasana tanah air memerlukan kepimpinan, bukan pergelutan kuasa. Hatta, kepimpinan yang ada perlu melakukan beberapa perkara.
Pertama, penyatupaduan kukuh hanya akan dapat dicapai andai kata masing-masing menebus persamaan. Manifesto, agenda rakyat, polisi yang mendekati pelbagai kumpulan sasar mesti menjadi tumpuan baik yang berlainan agama, ras, etnik, persempadanan negeri, gender, kelas dan fahaman politik.
Kedua, perbezaan perlu dirai kerana selama ini masing-masing mempunyai rasa syak wasangka, prejudis dan jurang ideologi politik yang telah mendominasi.
Persetujuan boleh dicapai melalui pendekatan tertutup untuk mengikis perbezaan dan merapatkan ‘keharmonian politik’. Ia bukan sahaja membabitkan kepimpinan atasan tetapi di pelbagai peringkat akar umbi. Komunikasi berhemah adalah senjatanya, bukan menembak sesama sendiri.
Ketiga, kompromi dan pengorbanan amat signifikan dalam membina blok politik yang utuh, sepadu, kuat dan peka pada perubahan. Ia adalah tanggungjawab bersama, bukan yang majoriti mengawal minoriti atau sebaliknya tetapi masing-masing tahu kompasnya adalah ‘politik moral’. Politik perkauman perlu dielak.
Keempat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim barangkali komited ke atas pengislahan tetapi penjenamaan kepimpinan Malaysia Madani memerlukan pemasaran politik. Beliau bukan lagi sekadar Presiden parti PKR (Parti Keadilan Rakyat) atau Pengerusi PH tetapi adalah Perdana Menteri ‘Kerajaan Perpaduan’ serta untuk semua rakyat Malaysia.
Legasi Kerajaan Perpaduan bergantung kepada keupayaan memberi makna ke atas kontrak sosial masyarakat yakni menekankan nilai kebahagiaan, kesejahteraan, kegembiraan dan keselamatan. Ia tidak berkompromi dengan kandungan Perlembagaan.
Pembangkang boleh dirujuk untuk bersama dalam kebangkitan ‘ketamadunan’ dengan berpusatkan kepada nilai kemanusiaan.
Fungsi pembangkang wajar diiktiraf dan pada masa sama, sifat kebergantungan ke atas polisi kerajaan yang bersifat komprehensif, menyeluruh dan memapar nilai keterangkuman mendalam boleh digunapakai bersama.
Menebus persamaan, merai perbezaan adalah tanggungjawab bukan satu individu. Ia adalah komitmen keseluruhan warga Malaysia jika mahu melihat negara ini kembali segar di persada serantau dan antarabangsa.
Konvensyen Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei 2023 mesti jelas objektif dan matlamat. Ia bukan sekadar untuk menutup gambaran ‘perpaduan palsu’ tetapi mempamerkan keikhlasan untuk bersama.
Ia tidak dapat dilakukan sekelip mata tetapi tawaran baharu perlu jelas agar yang memerhati melihat konvensyen ini bukan semata-mata gabungan pemikiran, idea dan perancangan pseudo tetapi secara rasional mampu memacu masa depan yang lebih baik.
Dasar boleh ditambah baik oleh sistem penyampaian sedia ada tetapi psikik Kerajaan Perpaduan latarnya adalah ‘keazaman politik’ untuk bersama.
Ini ujian sebenar Kerajaan Perpaduan sama ada sudah bersedia mengukuhkan titik keseimbangan dalaman dan mengurangkan perbezaan agar tidak menghalang formula pentadbiran wajah baharu Malaysia. Laungannya bukan lagi reformasi tetapi madani jika mahu mengambil jiwa dan hati blok gabungan bersama!
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca