UNTUK terus membela nasib rakyat dalam senario politik yang jauh sudah berubah ketika ini, Pemuda UMNO menjadikan politik progresif dan matang sebagai pegangan.
Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pendekatan baharu itu membolehkan pemimpin UMNO duduk berbincang soal kepentingan rakyat dengan parti sekutu dan pembangkang.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan SINAR AHAD, Raiham Mohd Sanusi bersama Dr Muhamad Akmal di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur pada Khamis yang turut menyentuh pelbagai isu lain termasuk Konvensyen Kerajaan Perpaduan, pengeluaran KWSP bersasar dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
SINAR AHAD: Dr menang dalam pemilihan parti sehingga diangkat sebagai Ketua Pemuda UMNO walaupun pada awalnya dianggap sebagai calon underdog. Ini bermakna ahli UMNO mahukan satu lonjakan perubahan dalam pentadbiran. Dengan mandat diberi ini, apa perubahan yang Dr ingin lakukan?
DR MUHAMAD AKMAL: Pertamanya ia membuktikan bahawa UMNO kini mampu untuk berubah. Siapa sangka seorang anak kampung yang langsung tiada latar belakang keluarga politik hari ini menjadi seorang wakil rakyat, dipilih oleh UMNO menjadi Exco kerajaan negeri dan akhirnya dipilih akar umbi UMNO untuk menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Sebelum ini kita tahu nak menjadi pemimpin bukan senang terutama di peringkat nasional tetapi bila mana seorang budak kampung yang tidak ada latar belakang politik yang begitu kuat telah dipilih dan menang dengan majoriti yang sangat besar, maksudnya UMNO kini telah berubah.
Perubahannya kini telah bermula dengan Pemuda UMNO. Saya percaya ini menunjukkan satu tanda positif yang UMNO menuju perubahan ke arah jauh lebih baik.
SINAR AHAD: Apakah selepas ini Dr akan lebih lantang bersuara menegur kepimpinan parti?
DR MUHAMAD AKMAL: Kita akan lantang bersuara menegur sesiapa pun sama ada kepimpinan parti, kerajaan dan pembangkang selagi mana tidak lari dengan prinsip asas perjuangan kita.
Tidak semestinya Pemuda UMNO perlu bersuara di dalam parti sahaja tetapi juga di luar konteks parti seperti kepada pembangkang dan kerajaan, selagi kita rasakan ia suara rakyat, selagi itulah perlu bawa suara rakyat dan tidak boleh lari daripada prinsip perjuangan itu.
SINAR AHAD: Selepas UMNO kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, apa yang boleh naikkan semula UMNO?
DR MUHAMAD AKMAL: Pertamanya UMNO dicuci, saya suka. Bila kita kalah dan rasakan kita kena perbaiki dari banyak sudut lagi. Kalah sekali dan dua kali tidak bermakna kita akan kalah untuk selama-lamanya.
Setiap kekalahan pasti ada hikmahnya. Antara hikmah kali ini adalah orang akar umbi seperti saya iaitu dari kampung boleh jadi antara pemimpin nasional yang membawa suara akar umbi secara terus.
Dulu kalau kita nak bercakap dan duduk dalam UMNO cukup susah. Hari ini UMNO lebih terbuka kepada orang-orang muda, idea dan pendapat-pendapat yang agak tidak selari dengan UMNO pun, pemimpin dah boleh terima jika ia baik untuk parti, ia akan diguna pakai.
Kalau dulu kita tengok masa UMNO menang dengan majoriti besar, suara-suara anak muda susah kita nak dengar, susah nak capai kepada pemimpin. Hari ini bila kalah, hikmah kekalahan itu adalah kita benar-benar boleh lakukan perubahan di dalam UMNO.
SINAR AHAD: Untuk kekal relevan dalam tempoh 10 tahun mendatang, apa yang UMNO perlu buat?
DR MUHAMAD AKMAL: Yang pertamanya bukan sahaja UMNO tapi semua parti kena berubah mengikut peredaran zaman tanpa mengetepikan prinsip mereka. Kita kena ikut rakyat, kena tengok apakah suara rakyat. Jadi jangan kita buat perkara yang syok sendiri sahaja.
Orang politik cukup-cukuplah berpolitik. Kalau nak berpolitik biarlah semasa pilihan raya sahaja tetapi selepas pilihan raya sama ada kita menang atau jadi pembangkang yang penting sekali kita kena bantu rakyat.
Sebabnya kalau kita tengok jumlah keahlian bagi setiap parti sekarang sudah kurang dari 50 peratus jumlah pengundi. Maksudnya yang sibuk nak berpolitik ini adalah orang politik tetapi rakyat di luar sana, ramai yang tidak menjadi ahli mana- mana parti.
Kita tak nak esok rakyat tidak percaya kepada pemimpin parti politik. Apabila mereka tidak percaya sudah tentulah ia memberi kesan yang sangat buruk kepada pentadbiran negara kita dalam tempoh akan datang.
Jadi tugas kita sebagai orang muda untuk memberitahu kepada rakyat di luar sana bahawa pendekatan pemimpin muda kali ini adalah sedikit berbeza.
Pendekatan kita kali ini adalah nak bawa politik yang progresif dan matang. Kita boleh duduk dengan pembangkang, parti sekutu untuk membincangkan soal rakyat. Ini jauh lebih penting daripada kita bercakap mengenai nak tukar kerajaan, labelkan parti tertentu sebagai parti rasis dan parti menjahanamkan negara.
Saya percaya semua parti dalam negara ini mempunyai satu tujuan. Tujuannya adalah untuk better nation untuk melihat negara ini lebih maju. Mungkin dari segi ideologinya berbeza tapi tujuannya tetap sama iaitu nak melihat Malaysia maju pada masa akan datang.
Pada masa sama, prinsip dan ideologi itu tetap kita pertahankan. Macam UMNO, orang kata UMNO dulu tidak boleh duduk dengan DAP, tetapi bila keadaan politik berubah, atas arahan dan perintah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan, maka kita akur dan Kerajaan Perpaduan inilah yang telah dizahirkan untuk menjadi kerajaan maka cukup-cukuplah berpolitik.
Tugas pemimpin dan parti politik hari ini adalah untuk membantu rakyat, membuat polisi yang baik untuk negara agar masa depan anak-anak kita jauh lebih baik. Itu adalah tugas utama kita.
Jadi kalau nak kata UMNO duduk dalam DAP, prinsip UMNO hilang, saya nak tanya juga adakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas masa bekerjasama dengan DAP dulu prinsipnya hilang? Sudah tentu tidak. Begitu juga dengan UMNO.
Pada Rabu lalu, baru kita bermesyuarat bersama pemimpin Pemuda Kerajaan Perpaduan, saya kata kita boleh bekerjasama dengan tiga prinsip. Prinsip pertama, perlu mempercayai satu sama lain; kedua, perlu saling menghormati dan ketiga, perlu memahami satu sama lain.
Kalau tiga perkara ini boleh dilakukan sudah pasti masa depan Malaysia jauh lebih baik. Saya pun ada cakap ini adalah gaya kita mencorakkan Malaysia pada lima dan 10 tahun akan datang.
SINAR AHAD: Dr ada tegaskan sebelum ini, Pemuda UMNO perlu ikut kehendak rakyat, bukan pemimpin. Tetapi selepas BN menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, BN terpaksa akur dengan banyak keputusan kerajaan yang tidak dipersetujui rakyat. Contoh terbaharu tentang gesaan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar. Bagaimana Pemuda UMNO mahu memastikan permintaan rakyat direalisasi di sebalik keputusan tegas Perdana Menteri berkenaan isu KWSP?
DR MUHAMAD AKMAL: Bagi setiap keputusan, saya percaya ada ruang dan peluang untuk kita tambah baik. Memang Perdana Menteri tegas tidak benarkan pengeluaran tetapi bagi pihak Pemuda UMNO kita telah berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan juga pemegang-pemegang taruh yang bertanggungjawab dalam KWSP untuk cari cara yang terbaik menolong rakyat.
Di sini kita perlu lihat mungkin Perdana Menteri ada keputusan sendiri kenapa tidak benarkan lagi pengeluaran tetapi mungkin dari satu segi lain Perdana Menteri tidak nampak perkara ini, jadi itu tugas kami membawanya. Sudah pasti keputusan yang dicapai itu mestilah keputusan yang menyebelahi rakyat.
Jadi sekarang ini kita perlu tengok ramai yang minta pengeluaran bersasar ini tetapi ada juga yang rasa tidak perlu sebab ia untuk simpanan hari tua. Kita perlu duduk semeja, berbincang untuk mencapai kata putus. Itulah keputusan yang terbaik untuk rakyat dan kita akur dengan apa yang kita putuskan setelah berbincang dengan semua pihak.
Kita akan bantu rakyat selagi mampu dan saya tetap dengan pendirian saya dan Pemuda UMNO. Pendirian kami adalah suara rakyat adalah suara yang kita bawa dan saya percaya masih ada ruang perbincangan itu.
SINAR AHAD: Ada pendapat mengatakan gabungan Kerajaan Perpaduan adalah baik untuk rakyat Malaysia, tapi tidak semestinya untuk orang Melayu. Komen Dr?
DR MUHAMAD AKMAL: Pendapat itu mungkin pendapat orang politik. Bagi saya apa yang lebih penting adalah apa yang rakyat nak. Rakyat nak tengok bagaimana sebuah kerajaan itu boleh membantu rakyat dari segi ekonomi, jurang pendapatan, peluang pekerjaan dan infrastruktur asas.
Inilah yang rakyat perlukan. Rakyat sebenarnya jujur. Yang bercakap soal perkauman, ekstremis adalah orang politik sahaja tapi rakyat di bawah ini masih memerlukan banyak lagi bantuan.
Sebenarnya ia bukan soal baik untuk orang Melayu dan baik untuk mana-mana kaum sekalipun. Siapa yang menjadi kerajaan dan pemimpin, tugas yang paling utama adalah untuk membantu rakyat. Itulah sebaik-baik pemimpin yang ada.
Jadi saya rasakan bahawa bila ada dakwaan mengatakan duduk dalam Kerajaan Perpaduan ini tidak baik untuk orang Melayu, sebenarnya itu adalah momokan oleh segelintir orang politik.
Sudah pasti hari ini kita lihat siapa pun yang jadi kerajaan, tugas utama adalah untuk membantu rakyat. Sudah pasti rakyat di Malaysia ini bukan orang Melayu sahaja, dan kita perlu bantu juga orang Cina, India dan pelbagai kaum yang lain.
SINAR AHAD: Berkenaan konvensyen Kerajaan Perpaduan pada Ahad yang mengumpulkan hampir 10,000 ahli daripada 19 parti, apa antara agenda yang akan disampaikan dan apa harapan Dr dengan dapatan dari konvensyen ini?
DR MUHAMAD AKMAL: Konvensyen Pemuda Kerajaan Perpaduan pertamanya untuk kita mencorakkan gaya politik Malaysia yang akan datang. Jadi sudah tentu ia perlu datang daripada pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan dan kita nak bina bersama Malaysia tercinta ini.
Pemuda UMNO akan membawa resolusi yang dikemukakan oleh beberapa sayap negeri dan bahagiannya yang bermatlamat memperkukuh lagi kerjasama semua sayap pemuda dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Kalau kita lihat asas kemerdekaan dulu dicapai apabila kesemua kaum dalam negara ini bersatu padu. Dulu orang UMNO menentang Malayan Union tapi masih gagal dapat kemerdekaan. Kita akhirnya dapat kemerdekaan apabila orang Cina, India dan Melayu bersatu padu untuk menubuhkan negara kita.
Asasnya yang mahu kita bawa ialah kita nak beritahu bahawa negara ini negara kita semua. Milik orang Melayu, Cina, India dan bangsa lain yang berada dalam Malaysia maka kita perlu bina semula negara ini dengan gaya politik yang progresif dan matang.
Sebab apa? Sebab kita tidak mahu dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, Malaysia semakin mundur ke belakang jadi orang muda tidak boleh terikut-ikut dengan cara orang lama.
Dapatan konvensyen ini sudah tentu menjadi titik permulaan bagi kesatuan dalam parti-parti Kerajaan Perpaduan, ini yang pertama. Yang kedua adalah untuk mengeratkan lagi ikatan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan supaya kita dapat kerajaan yang jauh lebih stabil.
Sudah lima tahun ketidakstabilan politik berlaku, penat rakyat. Apabila stabilnya parti politik dalam kerajaan maka kita lebih fokus untuk membantu rakyat. Konvensyen ini menjadi titik tolak untuk perhubungan yang lebih baik lagi, insya-ALLAH.
SINAR AHAD: Untuk PRN di enam negeri nanti, berapa kerusi akan diwakili Pemuda UMNO, adakah nama sudah diserahkan kepada Presiden, berapa peratus muka baharu daripada Pemuda UMNO?
DR MUHAMAD AKMAL: Sudah ada senarai kerusi pilihan yang kita ada untuk angkat pemimpin-pemimpin muda. Tapi saya masih tak serahkan kesemua nama kepada Presiden UMNO kerana saya bagi ruang dan peluang kepada Presiden untuk kita berunding kerusi dalam Kerajaan Perpaduan ini.
Bila telah selesai baru ada perbincangan bersama di dalam parti untuk kita bawa nama-nama yang layak seterusnya diangkat menjadi calon. Kita anggarkan muka-muka baharu daripada Pemuda dan Puteri sekurang-kurangnya 30 peratus.
SINAR AHAD: Selangor dan Pulau Pinang boleh dikatakan 'solid' untuk kerajaan menang. Bagaimana pula dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu? Adakah ia misi sukar untuk PH-BN menang di tiga negeri ini?
DR MUHAMAD AKMAL: Ia misi yang sukar tetapi tidak mustahil. Kalau kita boleh yakinkan di peringkat akar umbi dan keluarkan polisi-polisi yang baik untuk rakyat sudah pasti kali ini kita ada peluang walaupun tidak tinggi.
Bila ada peluang kita gunakan sebaik mungkin. Sebabnya hari ini kita lihat pengundi bersifat sangat dinamik. Bila kita lihat PRN Melaka, Johor dan PRU15, macam tidak jauh. Mungkin hari ini orang yang mengundi parti A, boleh mengundi parti B sebab rata-rata pengundi ini tidak berparti dan mengundi kerana yakin parti yang dipilih boleh menyumbang kepada negara.
Hari ini informasi di hujung jari sahaja dan rakyat boleh menilai sebaik mungkin dan sudah tentu sebagai kerajaan dan pembangkang perlu keluarkan idea dan cadangan untuk membantu rakyat.
SINAR AHAD: Ada yang mendakwa ahli-ahli parti politik dalam Kerajaan Perpaduan tidak sebulu di peringkat akar umbi. Apa pandangan Dr?
DR MUHAMAD AKMAL: Tidak sebulu ini bukan sahaja berlaku dalam Kerajaan Perpaduan tetapi berlaku juga dalam pembangkang. Pembangkang pun ada yang tidak sebulu dengan pimpinan mereka. Tapi inilah lumrah politik kerana kita tidak boleh memuaskan hati semua orang.
Apa yang paling penting adalah bagaimana kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Sebagai seorang pemimpin, kita tidak boleh memecahbelahkan parti sebaliknya perlu kuatkan parti selagi parti tidak lari daripada prinsip perjuangan.
SINAR AHAD: Masih ada orang Melayu yang mempunyai persepsi negatif terhadap DAP terutama mengenai pendirian parti itu dalam hal-hal Melayu dan Islam. Apa naratif yang Pemuda UMNO akan bawa pada PRN nanti untuk ubah persepsi orang Melayu terhadap DAP?
DR MUHAMAD AKMAL: Pentadbiran DAP berubah sama sekali ketika ini. Pada PRU14 kita boleh tengok bagaimana DAP bersama dengan Bersatu ketika itu dan hari ini DAP bersama Kerajaan Perpaduan. Sudah tentu lain pentadbiran, lain caranya jadi kalau boleh bandingkan hari ini dengan 22 bulan dahulu semasa dalam PH ada Bersatu, sedikit berbeza dengan hari ini.
Sudah tentu persepsi itu akan ada, kita tak boleh nafikan memang ada sentimen DAP ini anti-Melayu tetapi di dalam Kerajaan Perpaduan kita ada masa untuk membuktikan apa yang dikatakan itu adalah sebaliknya.
Rakyat ini, dia dimomokkan di peringkat awal. Tapi sekarang ini ada ruang dan peluang untuk Kerajaan Perpaduan membuktikan bahawa apa yang dimomokkan selama ini tidak benar.
Ia juga untuk membuktikan bahawa bukan satu parti sahaja bercakap soal agama dan bangsa, tapi semua parti bercakap mengenainya. Oleh itu inilah masa untuk Kerajaan Perpaduan buktikan apa yang rakyat fikirkan itu adalah salah dan terpesong sama sekali.
SINAR AHAD: Adakah pengundi-pengundi tegar BN dan UMNO akan mengundi calon DAP?
DR MUHAMAD AKMAL: Selama ini DAP tidak pernah bertanding bagi kerusi UMNO pun dan UMNO tidak pernah bertanding dalam kerusi DAP. Jadi saya rasa untuk orang UMNO undi DAP di tempat-tempat tertentu mungkin sukar. Tapi lama kelamaan mereka mungkin boleh memahami.
Justeru, itu tugas pemimpin untuk membuktikan bahawa perhubungan ini telah dimulakan di peringkat atasan maka ia terus ke bawah.
Jadi bila kita duduk di bawah kita fahamkan pengundi kita, saya percaya tidak akan ada masalah. Sama juga dulu bila kita duduk dengan Pas, orang UMNO tak boleh undi orang Pas dan orang Pas pun tak boleh undi UMNO sebab dah lama sangat bergaduh.
Tapi apabila kita fahamkan mereka, akhirnya bukti di Tanjung Piai kita menang dengan majoriti yang sangat besar. Masa itu kerusi BN ditandingi MCA jadi kita lihat orang Pas boleh undi MCA.
Sebab apa? Bila pemimpin atas sudah mulakan persaudaraan ini maka di bawah kita perlu gerakkan setiap jentera supaya rakyat faham. Saya percaya pengundi tegar UMNO ini akan faham.
Klik di sini untuk terus membaca