IMPIAN lebih suku abad yang lalu untuk melihat kemakmuran Malaysia dan transformasi pembangunan ke arah negara berstatus maju masih lagi tidak boleh dicapai pada hari ini gara-gara skandal rasuah terus berleluasa tanpa henti. Akhbar harian... Klik di sini untuk terus membaca

IMPIAN lebih suku abad yang lalu untuk melihat kemakmuran Malaysia dan transformasi pembangunan ke arah negara berstatus maju masih lagi tidak boleh dicapai pada hari ini gara-gara skandal rasuah terus berleluasa tanpa henti.

Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan dalam tempoh kira-kira 26 tahun itu angkara rasuah dan ketirisan, negara telah mengalami anggaran kerugian kewangan sebanyak RM 4.5 trilion.

Menurut EMIR Research, amalan rasuah dalam masyarakat setempat telah menelan kerugian ekonomi mencecah 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bermula dari tahun 1997 hingga 2010.

Sehubungan itu, laporan data Transparency International Malaysia (TI-M) dan Bank Dunia turut mengukuhkan kenyataan bahawa Malaysia kehilangan hampir 4 peratus daripada KDNK setiap tahun sejak 2013 disebabkan gejala rasuah.

Bukan itu sahaja, laporan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) pula membongkar kegiatan sogokan dan rasuah dalam kalangan syarikat swasta di Malaysia meningkat daripada 19 peratus pada tahun 2014 kepada 30 peratus pada tahun 2016.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, sekurang-kurangnya kerajaan dapat ‘menyelamatkan’ kira-kira 1 trilion daripada 4.5 trilion tersebut.

Rakyat jelata dapat menikmati bantuan bonus daripada jumlah kerugian ekonomi yang sebesar itu.

Jika 10 tahun yang lalu, insiden pegawai kerajaan berpangkat gred 54 jarang didakwa atas kesalahan amalan rasuah.

Namun kini kes-kes seumpama itu sudah menjadi kebiasaan sebaliknya pegawai-pegawai bawahan juga semakin terjerumus dalam amalan terkutuk itu.

Azam menegaskan sejak kebelakangan ini, gejala rasuah telah menular dalam kalangan golongan wanita dalam negara.

Sekitar tahun 2019, sebanyak 9 wanita sahaja terlibat dalam skandal rasuah tetapi jumlah itu telah meningkat kepada 57 kes pada tahun 2022.

Senario itu membuktikan kaum wanita juga telah menjadi hamba amalan rasuah sehingga mencemarkan imej baik mereka.

Jelas Azam lagi, sekiranya telah wujud peluang untuk menerima duit rasuah, tak kira lelaki mahupun wanita akan mudah terpedaya dan terlibat dalam urusan bercanggah dengan undang-undang negara itu.

Sementara itu, Malaysia Nanban berkata, Malaysia dikurniakan dengan anugerah kekayaan sumber asli berbanding negara-negara jiran di rantau ini.

Sudah lama boleh menjadi makmur tanpa sebarang hutang dan liabiliti negara yang diisytiharkan berjumlah RM1.5 trilion iaitu hampir 80 peratus daripada KDNK menjelang akhir tahun 2022.

Bagaimanapun, manifesto semewah itu terus menjadi sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh tampuk kepimpinan kerajaan yang lampau ataupun semasa sehingga hari ini hanya disebabkan amalan rasuah.

Sumber kewangan yang sepatutnya digunakan untuk memperkukuhkan sektor ekonomi negara telah terhakis dengan cukup mudah kerana pemberi mahupun penerima rasuah tiada kesedaran secara mendalam tentang tabiat buruk itu.

Rasuah telah menjadi ancaman besar kepada rakyat dan negara serta ia tidak mengira bangsa ataupun agama.

Justeru rakyat biasa, pegawai kerajaan dan swasta serta ahli politik wajar berazam untuk mengamalkan integriti dan tidak terjebak dalam gejala rasuah yang mampu melumpuhkan wawasan murni Malaysia Madani.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca