PADA 8 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya menambah pelaburan terus dalam negara. Beliau mahu pelaburan dalam kategori itu dinaikkan daripada 64 peratus tahun... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 8 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya menambah pelaburan terus dalam negara. Beliau mahu pelaburan dalam kategori itu dinaikkan daripada 64 peratus tahun lalu kepada 70 peratus tahun ini.

Tidak salah bagi sesiapa pun memberi pandangan dan nasihat mengenai pelaburan jika faham mengenainya serta mempunyai maklumat sahih. Lagilah kalau orang itu ialah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang ada kuasa ke atas badan-badan pelaburan awam.

Laporan media massa mengenai arahan Anwar itu bagaimanapun tidak memberi butir terperinci. Boleh jadi kerana Anwar tidak mengulas secara mendalam atau media massa sendiri tidak faham operasi pelaburan KWSP.

Misalnya, KWSP baru sahaja melaporkan jika tidak kerana pelaburan di luar negara, keuntungannya bagi tahun kewangan 2022 adalah lebih rendah.

Walaupun hanya melabur kira-kira 36 peratus daripada asetnya di luar negara tetapi keuntungannya adalah 45 peratus daripada keseluruhan keuntungan kasar.

Seperti yang saya katakan dalam artikel minggu lalu, banyak penanda aras ekonomi jangka pendek dan sederhana seperti pasaran saham serta kadar tukaran ringgit yang masih terumbang-ambing.

Dalam keadaan Perdana Menteri dan kerajaan perlu menumpukan sepenuh masa, tenaga serta kepintaran memulihkan ekonomi negara ketika berdepan suasana global yang sukar, adalah ironi Anwar memilih untuk melakukan sendiri pemburuan ahli sihir (witch hunting), seolah-olah tindakan agensi-agensi penguat kuasa sahaja tidak cukup.

Sengketa terbuka antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak baik bagi Malaysia. Sepatutnya, setelah berjaya mendapat pengampunan diraja dan menjadi Perdana Menteri, Anwar mempunyai tahap keyakinan tinggi dan bersikap hati mulia (magnanimous).

Sebaliknya, beliau memilih untuk membangkitkan tuduhan lama terhadap Dr Mahathir. Kalau betul beliau ada berkotak-kotak maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa oleh Dr Mahathir, beliau boleh mendedahkannya di Parlimen atau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Jika kerajaan Anwar boleh mengarahkan pelbagai agensi menyiasat dakwaan dari luar negara mengenai Kertas Pandora, kenapa tindakan serupa tidak dilakukan dengan ‘kotak-kotak Pandora’ yang beliau ada?

Mungkin ia akan mencetuskan masalah lain pula kerana memiliki, menyimpan dan menggunakan dokumen rahsia kerajaan adalah kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Muslihat Anwar itu memaksa Dr Mahathir mengemukakan saman fitnah bagi membersihkan namanya. Kalau saman itu sampai ke peringkat perbicaraan, banyak cerita lama akan keluar semula.

Ia akan turut menyusahkan usahawan Melayu dan bukan Melayu yang dituduh sebagai kroni Dr Mahathir serta kroni Anwar. Ramai daripada mereka sudah tidak cergas lagi dalam per-niagaan, malah ada yang sudah meninggal dunia tetapi ramai lagi masih kuat dan berjaya.

Banyak cerita lama ‘zaman cinta berahi’ Mahathir-Anwar (1982-1998) akan keluar dan mengalihkan tumpuan kerajaan terhadap tugas mentadbir negara. Rakyat jelata pula akan terus berpecah-belah, sedangkan mereka diminta menyokong Kerajaan Perpaduan.

Malah, belum pun perbicaraan bermula yang mungkin lambat lagi, macam-macam cerita lama sudah mula muncul di pelbagai arena berita. Ia tentunya tidak baik bagi kerajaan dan rakyat jelata.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca