SEJAK kebelakangan ini kuasa negeri dalam membuat undang-undang dipertikai sehingga beberapa undang-undang telah diiystiharkan terbatal dan tidak berperlembagaan. Sebagai sebuah negara mengamalkan konsep federalisme, Malaysia mempunyai dua... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK kebelakangan ini kuasa negeri dalam membuat undang-undang dipertikai sehingga beberapa undang-undang telah diiystiharkan terbatal dan tidak berperlembagaan.

Sebagai sebuah negara mengamalkan konsep federalisme, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang utama iaitu Parlimen dan Dewan Negeri. Kedua-dua badan itu mempunyai fungsi tersendiri.

Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat (AS) juga mengamalkan konsep negara Persekutuan atau federal. Namun, Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan Persekutuan negara-negara lain dari sudut hubungan antara Persekutuan dan negeri itu sendiri.

Hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri di Malaysia dinyatakan secara khusus dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan. Misalnya, Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara dinyatakan Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, manakala Dewan Negeri pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara dinyatakan Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Secara umumnya, Islam terletak dalam bidang kuasa negeri. Dapatlah difahami kerana sultan merupakan ketua agama bagi negerinya. Keharmonian itu ditambah lagi apabila setiap sultan atau raja yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, Seri Paduka Baginda perlulah bersumpah akan mempertahankan Islam setiap masa.

Ketika penjajah datang, kedudukan agama Islam terutama dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik. Undang-Undang 99 Perak umpamanya, mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan sunnah ke dalam hutan, manakala pemimpin yang tidak mempercayai al-Quran dan sunnah juga tidak layak menerajui kepimpinan negeri.

Raja-raja mempunyai kuasa besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa raja Melayu sebagai ketua agama Islam semasa penjajahan juga tidak disentuh. Malah, kuasa itu tidak disekat oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Jadual Kelapan Perlembagaan.

Berbalik kepada hal ehwal Islam dalam bidang kuasa negeri, sudah tentulah perkara yang sedikit itu merupakan otonomi kepada negeri bagi menegakkan syiar Islam, selain di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Ia termasuklah penubuhan majlis agama negeri, mufti, Mahkamah Syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri bukanlah hanya dekorasi. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri.

Apatah lagi, undang-undang Islam mempunyai jurisprudennya tersendiri yang kadangkala tidak difahami oleh orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain, kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai oleh ketua agama, melainkan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Begitu juga sebaliknya, kerajaan-kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Kuasa kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal berkaitan Islam hanyalah melibatkan perkara penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan.

Sebagai contoh, terdapat undang-undang Persekutuan mengenai perbankan Islam. Bagi menentukan pematuhan hukum syarak perbankan Islam, ia adalah dalam bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri.

Itu bermakna, jika ada undang-undang Persekutuan yang memerlukan penentuan hukum syarak, kuasa menentukannya jatuh kepada kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri sebagaimana perkara lain seperti diperuntukkan dalam Butiran 4(k) Senarai I Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, kedua-dua badan perundangan perlulah menghormati kedudukan tersebut dan tidak melewati sempadan yang telah diperuntukkan.

Mencampuri urusan badan lain hanya akan menggugat konsep federalisme. Kesannya, kedua-dua badan perundangan berkenaan akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan diberikan. Ketidakharmonian itu akan menyebabkan perjalanan urusan negara tergendala.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca