BUAT pertama kali, satu jadual waktu konkrit untuk merealisasikan Majlis Media Malaysia (MMM) telah dinyatakan. Persoalannya, bukan lagi kalau tetapi bila kelahiran MMM itu akan menjadi kenyataan.
Jika berjalan lancar, Rang Undang-undang (RUU) MMM yang sedang dalam proses penggubalan pada peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober depan.
Sekiranya RUU itu memerlukan sedikit lagi masa untuk diperhalusi, pembentangannya akan dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat, Mac 2024.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Madani bagi membidankan kelahiran MMM memberitahu, pihaknya memerlukan masa menyediakan RUU MMM kerana perlu melalui proses lazim dalam cara kerajaan bekerja.
Namun, penyegeraan itu tidak dapat dilakukan kerana reformasi perundangan dijanjikan itu masih belum nampak bayangnya lagi. Justeru, penggubalan undang-undang baharu atau pindaan pelbagai akta yang sedang berkuat kuasa masih terikat dengan cara dan proses birokrasi sedia ada.
Proses itu bermula dengan pihak kementerian yang berhasrat memperkenalkan rang undang-undang tersebut. Dalam kes penubuhan MMM, kementerian yang dimaksudkan ialah KKD - perlu juga merujuk kepada pejabat Peguam Negara dan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan lain sebelum dibawa untuk kelulusan Jemaah Menteri.
Hal itu kerana tugasan mengawal selia industri media di negara ini turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal selia kewartawanan dan penerbitan cetak menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kementerian Kewangan pula perlu dirujuk kerana penubuhan MMM melibatkan wang pembayar cukai yang berada dalam jagaan Perbendaharaan. Selepas diberi lampu hijau oleh kabinet, barulah RUU MMM dibentangkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk diluluskan, seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan. Setelah diwartakan oleh Menteri KKD, barulah RUU MMM berstatus akta.
Berdasarkan jadual waktu rapi yang ditetapkan oleh Fahmi, kita boleh menjangkakan penubuhan MMM - salah satu janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) Pakatan Harapan (PH) pada 2018 bakal menjadi kenyataan sebelum 2023 meninggalkan kita atau paling lewat sebelum pertengahan 2024.
Tentulah dalam mentafsir atau mentakrif apa dimaksudkan dengan kebebasan media itu, pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang kewartawanan mempunyai pandangan tersendiri.
Justeru, ada pengarang akhbar berpendapat penubuhan MMM bukan jaminan kebebasan media wujud secara automatik di negara ini. Sebaliknya, MMM boleh menjadi lapisan tambahan untuk kerajaan mengongkong atau mengawal kebebasan media. Tatkala pandangan itu mungkin benar tetapi segala-galannya bergantung kepada pengamal media itu sendiri untuk menentukannya.
Bagi saya, sekurang-kurangnya penubuhan MMM adalah langkah pertama yang membolehkan pengamal dan pemilik media berhijrah kepada mekanisme mengawal industri mereka secara kendiri atau self-regulatory yang tidak wujud sebelum ini. Peluang itu jangan dibiarkan pergi.
Melalui MMM, para pemilik dan pengamal media yang diwakili dalam majlis tersebut boleh mencorakkan kebebasan media yang mereka ingini. Dengan menggunakan MMM, mereka boleh memperjuangkan penghapusan undang-undang yang dianggap mengongkong terhadap kebebasan media pada waktu ini.
Dengan kata lain, anggaplah MMM sebagai wadah untuk memerjuangkan kebebasan media yang ideal dengan mengambil kira realiti semasa, bukan sekadar perjuangan yang berakhir di situ sahaja. Perjuangan itu hendaklah dilakukan selangkah demi selangkah dengan tertib dan sopan.
Sudah tiba masanya wartawan dan pengamal media itu sendiri menetapkan tahap terbaik kebebasan media yang diingini supaya dengan itu mereka mempunyai keupayaan secara persendirian atau kolektif untuk mengumpul, menerbitkan dan menyebarkan berita serta maklumat demi kepentingan awam tanpa campur tangan berlebihan dari segi politik, pemilikan dan kerangka perundangan yang menyekat.
Pada masa sama, kebebasan diperjuangkan itu mesti dapat dapat menjamin tidak terdapat ancaman terhadap keselamatan mereka dari segi fizikal dan mental. Mengharapkan kerajaan memberi kebebasan media dalam dulang emas adalah satu fikiran yang naif.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca