POLEMIK lantikan politik dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan kembali meriah berikutan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai pelantikan lima pengerusi baharu badan berkanun di bawah... Klik di sini untuk terus membaca

POLEMIK lantikan politik dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan kembali meriah berikutan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai pelantikan lima pengerusi baharu badan berkanun di bawah kementeriannya, berkuat kuasa Isnin ini.

Antara yang dilantik ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Jawatankuasa Amanah, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Turut dilantik ialah bekas Ahli Parlimen PH, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta pemimpin parti Amanah, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Sudah tentu lantikan itu mengundang kritikan dan cemuhan awam kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta PH telah memberi gambaran seolah-olah mereka akan menghapuskan semua lantikan politik.

Pada Disember 2022, kerajaan mengumumkan penamatan semua perkhidmatan lantikan politik dalam badan berkanun di peringkat kerajaan pusat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas alasan untuk memperbaiki tata kelola kerajaan.

Puji-pujian pun diberikan kepada Perdana Menteri oleh penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan yang dilaporkan berkata ‘langkah menamatkan perkhidmatan lantikan politik secara serta-merta ini menunjukkan keseriusan Anwar dalam memulihkan negara’.

Justeru, tidak hairanlah lantikan politik terbaharu itu akan menjadi bahan cemuhan dan dipandang sinis oleh rakyat yang melihat kerajaan cakap tidak serupa bikin.

Namun, yang agak aneh, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh turut mengkritik pelantikan yang diumumkan oleh Mohamad Sabu.

Dr Akmal seolah-olah lupa bahawa menteri daripada UMNO yang mula-mula sekali membuat lantikan politik dalam kerajaan hari ini. Jika Dr Akmal mahu mengkritik Mohamad Sabu, beliau juga perlu mengkritik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang lebih awal membuat lantikan-lantikan politik.

Dalam hal itu, bukanlah semua rakyat menentang atau menolak lantikan politik. Oleh sebab negara kita merupakan negara demokrasi, maka pihak mana pun yang menjadi kerajaan akan membuat lantikan politik.

Kerajaan memerlukan mereka yang memahami falsafah politik yang memenangi pilihan raya untuk melaksanakan agenda rakyat. Ini negara demokrasi, demikianlah aturan pentadbirannya kerana jatuh bangunnya sesebuah pemerintahan bergantung kepada prestasi mereka yang dilantik.

Sebenarnya masalah negara kita bukan lantikan politik atau tidak. Masalah negara ini juga bukan kerana Perdana Menteri dan kerajaan kerap bertukar. Masalah terbesar negara ini ialah ahli-ahli politik ‘jahat’ yang meletakkan kepentingan diri dan fraksi melebihi kepentingan negara.

Kita boleh tukar kerajaan setiap tahun tanpa menjejaskan ekonomi negara jika ahli politik yang berjaya memegang kuasa mampu menjalankan tugas dengan cekap dan amanah.

Pemimpin politik yang baik tidak akan mengubah dasar diluluskan kerajaan terdahulu atas alasan dangkal dan dibuat-buat atau hanya semata-mata untuk membuktikan kempen mereka sebelumnya benar.

Pemimpin politik rosak akal budi akan mengubah perancangan negara hanya kerana ia diputuskan oleh musuh politiknya dan bimbang sekiranya berjaya akan menjadi keuntungan kepada musuh.

Pada 2018, kerajaan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diguna pakai beratus negara di dunia. Ia menyebabkan ekonomi negara gagal berkembang dengan lebih baik.

Kali ini kerajaan mengubah dasar 5G negara hanya kerana mahu membuktikan langkah kerajaan terdahulu menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) dan menggunakan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) satu kesilapan.

Oleh sebab dalam kempen pilihan raya, mereka mendakwa DNB akan gagal dan bakal menjadi 1MDB kedua, maka apabila memegang kuasa usaha membuktikan dakwaan benar perlu dilakukan.

Tanpa sebarang perancangan jelas, kerajaan telah mengumumkan perubahan polisi, sekali gus akan menyebabkan DNB kerugian berbelas bilion ringgit.

Hanya kerana idea yang baik datang daripada kerajaan yang pemimpin sekarang tidak suka, maka kepentingan rakyat diperjudikan dan masa depan negara tidak dipedulikan.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca