SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai tidak bersetuju memiliki kenderaan menggunakan kaedah sambung bayar yang mana boleh mengundang banyak risiko tidak dijangka kepada para pembeli.
Petugas pengeluaran produksi, Mohamad Zarif Mohd Zamri, 29, berkata, kaedah itu boleh membahayakan para pembeli kerana kereta tersebut masih di bawah pemilikan bank sehingga bayaran habis dibuat dan tempoh pinjaman tamat.
"Selain itu sebagai pembeli, kereta tersebut tidak dapat dipindahkan di bawah nama mereka. Mereka juga tidak dilindungi polisi insurans kenderaan tersebut.
"Saya lebih memilih untuk memiliki kereta baharu berbanding kaedah sambung bayar kenderaan yang boleh membahayakan para pembeli di kemudian hari.
"Oleh itu, fikirlah baik-baik untuk masa depan. Jangan sesekali terpedaya dengan bayaran muka yang rendah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sinar Ahad mendedahkan penjual kereta terpakai kini menggunakan taktik baharu menjual kereta menerusi skim sambung bayar kepada orang ramai.
Dalam pada itu, pegawai khidmat pelanggan, Intan Nor Sazwani Che Ahmad, 28, berkata, terdapat banyak cara lain yang lebih selamat untuk memiliki kenderaan.
"Pada pendapat saya, saya tidak akan memilih cara ini (kaedah sambung bayar) untuk memiliki kenderaan sebab sekarang ada banyak cara yang lebih selamat untuk dapatkan kereta.
"Sebagai contoh, Carsome, kalau kita tidak mampu dapatkan kereta baru, kita boleh dapatkan kereta secondhand dengan harga lebih rendah dan keadaan kereta yang lebih baik."Dan yang paling penting tidak salah di sisi undang-undang,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam, Nurashikin Haron, 28, berkata, kaedah sambung bayar itu juga memberi kesan buruk kepada pemilik kereta.
"Saya memilih untuk tidak membeli kereta menggunakan kaedah sambung bayar kerana risiko ini terlalu besar di kemudian hari.
"Walaupun orang yang membeli itu mungkin tidak ada niat jahat, tetapi pemilik kereta itu sendiri mungkin ada sejarah-sejarah hitam yang akan membuatkan kita terpalit sama,” ulasnya.
Klik di sini untuk terus membaca