TIDAKLAH lengkap rasanya jika menjejak kaki ke London tetapi belum bergambar bersama Elizabeth Tower yang lebih dikenali sebagai Big Ben.
Big Ben menempatkan empat jam besar yang berdenting setiap jam sejak 160 tahun lalu, tanpa gagal meski ketika hampir sebahagian besar London musnah ketika Perang Dunia Kedua.
Namun pada tahun 2017 hingga 2021, kawasan Westminster sunyi daripada bunyi loceng jam dari Big Ben.
Ini susulan keputusan kerajaan United Kingdom (UK) yang meluluskan peruntukan sebanyak GBP100 juta (RM540 juta) bagi kerja-kerja baik pulih mercu tanda London ini. Ia kerja baik pulih bangunan lama yang paling kompleks dan memakan masa sehingga lima tahun.
Selain kerja-kerja penyepuhan, cat dan ukiran batu di menara, empat muka jam Big Ben yang merupakan antara jam mekanikal terbesar di dunia juga diturunkan untuk dibaiki.
Ia dibawa ke sebuah bengkel jam yang berada di ceruk kampung kecil di Cumbria, Lake District National Park. Lebih seribu komponen jam dikeluarkan dan dibersihkan. Mekanisme jam pula dikekalkan kepada teknologi asalnya.
Ketika Big Ben dibuka sepenuhnya pada tahun 2022, orang ramai begitu tertegun melihat rupa asal Big Ben yang rupa-rupanya berwarna kuning keemasan.
Bukan setakat Big Ben, bangunan bersejarah lain di UK sememangnya dipelihara dengan begitu baik.
Bangunan lama menjadi daya tarikan utama pelancong ke UK. Empat daripada 10 pelancong menyatakan mereka datang ke UK untuk menyaksikan bangunan dan tempat bersejarah termasuklah muzium, gereja dan istana lama.
Heritage tourism ini menjana sehingga GBP12.4 bilion setahun kepada ekonomi UK.
Bangunan bersejarah bukan sekadar memberi nilai estetika atau menjadi tarikan pelancong semata-mata. Ia turut menyimpan banyak cerita jatuh bangunnya sebuah negara, merentas zaman sehingga menjadi antara kuasa utama dunia hari ini.
Big Ben umpamanya, selain menjadi mercu tanda London atau UK, ia juga lambang demokrasi berparlimen yang melandasi dunia hari ini.
Tidak hairanlah apabila kerajaan UK terus komited menjaga bangunan bersejarah mereka.
Namun, memelihara bangunan lama bukanlah mudah. Di UK misalnya, ada sekurang-kurangnya 6.2 juta bangunan yang dibina sebelum 1919 termasuklah rumah kedai.
Ia juga memakan kos yang tinggi. Saban tahun, ratusan juta pound peruntukan. Jika kerajaan tidak melihat bangunan bersejarah ini sebagai aset negara, pastilah mereka tidak menyediakan sebegitu banyak peruntukan.
Tapi pelaburan ini bukan sia-sia. Selain heritage tourism, kerja-kerja memulihara bangunan bersejarah ini dikatakan mampu menjana sehingga GBP35 bilion kepada ekonomi UK serta mencipta hampir 250 ribu peluang pekerjaan.
Tidak seperti di kebanyakan negara membangun, pembinaan bangunan baru di UK amat sukar mendapat kelulusan pihak berkuasa. Jika pun diluluskan, projek tersebut sering mendapat tentangan orang awam.
Meski berhadapan peningkatan permintaan premis perniagaan dan rumah kediaman, namun mereka tidak tergesa-gesa membina bangunan baharu. Sebaliknya, bangunan lama yang kosong akan sedaya upaya digunakan semula.
Pelan dalamannya diubah suai selari dengan kegunaan semasa. Rupa luaran bangunan pula dikekalkan. Catatan tentang sejarah bangunan tersebut turut dipamer di dinding utama sebagai tanda ingatan.
Keadaan tentulah berbeza di kebanyakan negara membangun termasuklah Malaysia. Kita begitu sibuk dengan cerita sejarah kegemilangan kita. Tapi kita kurang teruja menjaga bangunan lama yang ada, kecuali jika ia digazet di bawah UNESCO World Heritage Sites.
Malah jika sudah tiada kegunaan, bangunan lama dirobohkan dan diganti bangunan pencakar langit baharu. Tren ini menyumbang kepada lambakan premis kosong terutama di bandar-bandar besar.
Di China misalnya, ada sekurang-kurangnya 65 juta unit rumah kosong tiada pembeli. Bandar-bandar hantu atau ghost city juga semakin bertambah. Di Malaysia, meski belum ada ghost city, kita ada lebih 2 juta rumah kosong.
Mungkin kita boleh belajar sesuatu daripada konsep baik pulih dan guna semula bangunan lama di UK.
Lagipun bangunan lama kita tidak kurang hebatnya jika terus dipelihara. Ia boleh menjadi strategi pelaburan yang amat menguntungkan buat semua.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca