SHAH ALAM - Perbincangan hal yang bersifat membuka aib pasangan secara terbuka di media sosial atau platform penyiaran dengan tidak terkawal boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM50,000.
Peguam, Datuk Ikbal Salam berkata, kesalahan itu terletak di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berkaitan penghantaran perkataan yang bersifat lucah dan jelek.
"Kita tidak dapat lagi mengawal kata-kata netizen yang akan dikongsikan oleh mereka yang membaca kisah intim tersebut.
"Oleh kerana banyaknya mudarat yang boleh berlaku akibat membuka aib orang, justeru, syarak menggaris pandukan untuk kita menutup aib orang lain kerana kita akan buka ruang untuk pasangan kita dihakimi secara tidak adil oleh masyarakat dan bukannya pihak yang berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan berhubung seorang wanita menjadi pentadbir akaun Telegram yang mempunyai kandungan tidak bermoral.
Sebelum ini wanita terbabit aktif memuat naik kandungan yang berunsurkan seksual, membuka aib pasangan dan terbuka berkongsi mengenai hubungan kelamin.
Ujar Ikbal, dalam keluasan capaian media sosial pada masa kini, kandungan siaran seperti itu dibimbangi dapat dibaca oleh anak-anak kecil yang tentunya tidak sesuai membaca perkara sedemikian.
Dalam pada itu, menurutnya, perbincangan berkaitan hubungan intim hanya perlu dilakukan dalam keadaan memerlukan seperti bagi mendapatkan nasihat perubatan dari pihak doktor atau dalam sesuatu prosiding keadilan di mahkamah.
"Dibawa dalam perbincangan secara terbuka adalah dibimbangi akan membawa lebih kemudaratan dari manfaat kerana reputasi pasangan akan rosak teruk disebabkan ungkapan yang tentunya akan menjatuhkan maruah pasangan.
"Akan ada pula pihak ambil kesempatan untuk merendahkan harga diri pasangan apabila ia dipaparkan untuk tatapan umum dan penyebab polemik berpanjangan,” ujarnya.
Sementara itu, pakar perundangan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, media sosial perlu ada batasan khusus untuk mengelakkan platform berkenaan dijadikan sebagai satu wadah untuk kandungan lucah dan menggalakkan seks bebas.
"Jadi laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sudah cukup untuk pihak berkuasa menyiasat. Pandangan saya, kita ada kebebasan dan hal tetapi hak dan kebebasan tersebut tertakluk kepada U2 berkaitan moraliti dan agama.
"Biarlah pihak berkuasa siasat dan kalau wujud kesalahan, mereka hendaklah dituduh di mahkamah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca