PENULISAN kali ini, ia masih lagi berkisar berkenaan keputusan Bank Negara melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 3 Mei 2023 lalu dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.
Terbaharu, Bank Negara menyatakan bahawa kenaikan OPR bukan satu tindakan yang kejam dan menjelaskan kenaikan itu bagi mengawal inflasi daripada terus melonjak tinggi serta menjadi tidak terkawal. Persoalannya sejauh mana keputusan ini dapat mengawal kadar inflasi dalam negara?
Sebenarnya ia telah memberikan bebanan kepada pelbagai pihak termasuk peminjam, Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) dan pengguna.
Kos perniagaan juga turut meningkat apabila kadar OPR dinaikkan terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan melalui pinjaman bank dan ini secara tidak langsung turut memberi kesan kepada pengguna.
Ia juga berpotensi menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang disebabkan oleh peniaga terpaksa menanggung beban kenaikan OPR dan sebahagiannya diserap kepada pengguna.
Terbaharu, beberapa media melaporkan berlaku kenaikan harga sewa rumah kesan daripada kenaikan OPR.
Ini bermakna, kesan kenaikan OPR ini sebenarnya telah menekan sebahagian pemilik dan penyewa rumah yang amat terbeban pada ketika ini khususnya mereka yang masih terikat dengan pinjaman bank.
Sebenarnya, kenaikan OPR memberikan kesan dan bebanan yang besar kepada B40 dan M40 yang terpaksa membayar pinjaman lebih tinggi.
Bank Negara juga menyatakan bahawa kadar OPR kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019. Adakah situasi sebenar pada ketika ini sama dengan situasi sebelum pra-pandemik Covid-19?
Sebenarnya situasi yang berlaku pada ketika ini tidak banyak bezanya dengan situasi semasa berlakunya Covid-19. Bahkan situasi pada ketika ini lebih mencabar jika dibandingkan semasa Covid-19 disebabkan oleh kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Dengan kenaikan OPR ini, maka ianya telah menambah beban yang ada.
Semasa Covid-19, rakyat menerima banyak manfaat melalui pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi termasuk Pakej Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Inisiatif Moratorium, Program Subsidi Upah, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Geran Khas Prihatin.
Program Subsidi Upah sebagai contoh telah membantu begitu ramai majikan dan pekerja untuk terus bernafas. Impaknya juga akhirnya dapat mengawal kadar peningkatan pengangguran.
Pada ketika ini, Program Subsidi Upah dan moratorium sudah tiada. Gaji yang diterima juga tidak naik.
Dalam masa yang sama diteruskan kenaikan OPR dalam keadaan harga barangan dan kos sara hidup tidak menunjukkan tanda-tanda menurun.
Kesusahan yang bertimpa-timpa yang dihadapi oleh rakyat ini bak kata pepatah Melayu ‘Sudah dahaga sampai pula ke telaga kering’.
Oleh yang demikian, saya ingin menyatakan semula agar Bank Negara perlu mengkaji sebaiknya kesan kenaikan OPR ini dan bagaimana ianya benar-benar berjaya mengawal kadar inflasi negara dan tidak membebankan rakyat serta industri.
Persoalannya, bagaimana keadaan akan menjadi lebih baik apabila rakyat memperoleh pendapatan yang hampir sama dan dalam masa yang sama perlu membayar kadar pinjaman yang lebih tinggi serta baki pendapatannya selepas ditolak bayaran pinjaman bulanan, perlu membeli barangan keperluan harian yang naik secara mendadak?
Tidak memberikan makna yang besar kepada rakyat, tatkala ekonomi negara yang diumumkan baru-baru ini berkembang sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023, namun dalam masa yang sama rakyat dihimpit dan dibebani oleh tekanan hidup disebabkan oleh pelbagai perkara termasuklah kenaikan OPR.
Akhirnya, sudah sampai masanya rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk berbelanja mengikut kemampuan dan mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti berunsurkan riba yang berpotensi menjerat kita secara berpanjangan.
Jalan keluar adalah dengan kembali kepada konsep ekonomi wasatiyyah iaitu ekonomi yang berteraskan kepada penekanan terhadap aspek pertengahan dan kesederhanaan.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca