SHAH ALAM - Rasuah Busters mendesak supaya institusi polis 'dibersihkan' susulan pendedahan bahawa ada dalam kalangan ketua polis daerah di Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian di daerah pentadbiran mereka.
Menyifatkan mereka sebagai petualang negara, Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, susulan itu tindakan tegas perlu segera diambil bagi memastikan 'talian' kepada premis judi ini dapat diputuskan sekali gus gejala berkenaan mampu dibanteras.
"Pembersihan (institusi) polis ini perlu segera dilaksanakan, kerana ada kemungkinan segelintir mereka yang diberi amanah ini menerima rasuah.
"Tindakan tegas harus dilakukan termasuklah memecat mereka yang terlibat. Apabila ada tindakan keras, ia akan memberi peringatan kepada mereka yang terlibat supaya tidak lagi bersubahat dengan sindiket judi ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiada lagi amaran akan diberikan kepada ketua polis daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian di daerah masing-masing sebaliknya tindakan tegas akan diambil.
Mengulas lanjut, Hamdan berkata, dalam usaha mengatasi perkara itu, apa yang paling penting adalah setiap pegawai bertanggungjawab menunaikan tugas yang telah diamanahkan.
"Walaupun ada usaha untuk memberi suapan atau rasuah, ia harus dielakkan dengan meletakkan keselamatan awam dan negara sebagai perkara paling utama.
"Undang-undang mahupun akta sedia ada perlu dikuat kuasa agar kegiatan yang menyalahi undang undang akan segera dibawa ke muka pengadilan, tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan,” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan menyifatkan peringatan daripada Ayob Khan mengenai perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif.
"Ini adalah teguran daripada ketua, dari masa ke masa peringatan memang bagus diberikan. Daripada teguran itu, mereka yang berkenaan sepatutnya akur untuk melakukan kerja membanteras kegiatan judi ini,” katanya.
Wan Azliana juga khuatir jika ada dalam kalangan pengawai polis yang tidak mahu Bukit Aman ‘mengganggu’ pusat perjudian di tempat mereka telah 'dibayar' oleh sindiket.
"Kalau benar ini berlaku, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama polis harus membuat siasatan ke atas pegawai terbabit.
"Tindakan tegas mesti diambil ke atas pegawai yang menerima suapan dan yang memberi juga harus dihadapkan ke muka pengadilan supaya dapat membendung rasuah dan kegiatan perjudian,” tegasnya.
Tindakan Ayob Khan tepat - Pakar
Sementara itu, Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim berpandangan, tindakan untuk tidak lagi mengeluarkan amaran terhadap ketua polis daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian adalah satu langkah tepat dalam mengekang jenayah berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat mungkin disebabkan oleh isu berkenaan semakin berleluasa dan tiada kesudahan, katanya.
"Saya bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Pengarah JSJ, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay kerana usaha membanteras aktiviti perjudian seperti tidak menemui titik noktah.
"Lebih mengecewakan apabila pelbagai cara telah dilaksanakan namun ia tidak dapat diselesaikan kerana berlaku ketirisan dalaman yang melibatkan anggota polis,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Pada masa sama, Shahul Hamid menyarankan JSJ melakukan penyiasatan dalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang gagal untuk menangani masalah perjudian di kawasan tersebut.
"JSJ hendaklah menyiasat ketua-ketua polis daerah dengan mendapatkan penjelasan tentang kegagalan dalam menangani jenayah itu di kawasan mereka.
"Bukan itu sahaja, pihak polis juga perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penyerbuan pusat-pusat perjudian bagi memastikan Op Dadu dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Tambah Shahul Hamid, semua pihak terutamanya polis dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam mengekang aktiviti perjudian daripada berlaku secara berleluasa.
Jelas beliau, orang ramai hendak membuat aduan segera kepada pihak polis sekiranya terdapat premis perkomputeran yang secara tiba-tiba menjadi tumpuan ramai.
Ujarnya lagi, dalam membanteras jenayah terbabit, pihak polis perlu melakukan tindakan dan rondaan yang berterusan dan bukannya bersifat bermusim.
"Saya juga menyeru kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk turut memainkan peranan dengan menutup talian-talian perjudian agar masalah itu dapat dibendung dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca