SHAH ALAM - Istilah ‘dahulu lawan sekarang kawan’ yang sering kali disebut pemimpin parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa perbalahan dalam politik negara adalah bersifat tidak kekal.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamad berkata, sifat dinamik itu merupakan satu kebiasaan yang bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di luar negara.
Jelasnya, tiada istilah kawan dan musuh kekal dalam dunia politik.
"Kini UMNO dan DAP berkawan. Kalau dahulu Pas pernah bergabung dengan UMNO, kemudian tarik diri. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Pas bergabung dengan DAP.
"Jadi, evolusi parti-parti ini adalah bersifat dinamik. Mana-mana parti politik tidak boleh nak menghukum, menyatakan bahawa apa yang dibuat oleh satu parti itu adalah salah kerana dalam politik ia bersifat sementara. Ia bergantung kepada keadaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, penganalisis politik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, kerjasama antara PH dan BN bukan satu perkara luar biasa atau norma baharu bagi membentuk kerajaan.
"Apabila sudah bekerjasama, maka harus cari keserasian yang jitu demi kepentingan rakyat dan negara. Jadi, saya fikir konvensyen semalam (Ahad) ialah satu langkah konkrit dan pragmatik,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, seteru yang akhirnya menjadi sahabat itu bukan sahaja memberikan kesan positif malah ada juga kesan negatif yang berkemungkinan berlaku apabila terdapat kesangsian antara parti.
Jelasnya, keraguan tersebut menyebabkan kerajaan yang pada awalnya stabil akan jatuh dan akhirnya mendatangkan kesan-kesan lain kerana politik negara tidak stabil.
"Saya percaya bahawa mereka (parti dalam Kerajaan Perpaduan) sedar pentingnya mengetepikan kesangsian itu dan harus wujudkan keikhlasan dan iltizam politik untuk saling bekerjasama.
"Mereka tidak boleh selama-lamanya bermusuh. Musuh sekarang sudah jadi kawan untuk menentang musuh lain,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca