SEJAK kebelakangan ini, parti-parti politik negara seakan mendapat ‘wahyu’ baharu dengan mencanangkan tema perpaduan dan penyatuan yang bakal menjadikan negara ini lebih utuh dalam semua segi, dari kekuatan seluruh rakyat, pembangunan modal insan dan infrastruktur, pengukuhan ekonomi serta imej negara di lapangan antarabangsa.
Dua pihak yang bertelagah di arena politik, masing-masing memukul gong dengan kuat seakan penjual ubat yang mahu pengunjung pasar malam berhenti sejenak dan mendengar keajaiban ubat dijual mereka, yang katanya mampu menyembuhkan segala penyakit di muka bumi bertuah ini.
Di satu pihak, ia mengadakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan dengan mencetuskan idea bakal menjadi titik permulaan kepada agenda negara lebih besar melangkau perbezaan ideologi politik, agama dan kaum.
Ia dikatakan didukung oleh 19 parti politik berbeza yang hari ini memegang teraju kepimpinan negara dan ubat yang dikatakan bakal menyembuhkan penyakit negara diberikan jenama ‘Kerajaan Perpaduan’.
Di pihak lain, ia turut mengetengahkan ubatnya dengan jenama ‘Proklamasi Orang Melayu’ yang memberikan fokus kepada penyakit-penyakit yang sering melanda orang Melayu serta masyarakat peribumi.
Lebih khusus lagi, misi utama Proklamasi Melayu menurut mereka yang menyokong gagasan tersebut adalah untuk memperkasa semula keunggulan kuasa politik orang Melayu, umat Islam dan masyarakat peribumi menjelang PRU16.
Jika dibandingkan kedua-dua ubat dalam konteks keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara, ubat jenama ‘Proklamasi Orang Melayu’ mungkin bakal meresahkan mereka yang mendengar penerangan si penjual ubat tersebut.
Antara perkara yang ditonjolkan oleh proklamasi ini adalah orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini, nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka, kedaulatan tanah air ini pun bakal terlepas daripada tangan mereka dan masa depan Melayu kini amat gelap.
Ini diibaratkan orang Melayu hari ini telah digoncang daripada tidur yang panjang dan baru menyedari bahawa dirinya menghidap penyakit kusta, selain tiga serangkai, Covid-19, malah kurap dan panau pun semakin menjalar!
Demikian gambaran yang diberi penjual ubat. Mereka yang mendabik dada, menghunus keris serta bertengkolok perlu mendengar nasihat penjual ubat untuk memastikan masa depan mereka kembali gemilang.
Begitu juga mereka yang memegang Parang Ilang dan sumpit, perlu mengambil ubat sama sebagai orang peribumi yang dikatakan mempunyai simptom penyakit kronik sama.
Lebih mengejut dalam sebuah portal media elektronik, seorang bekas ahli politik yang pernah menduduki Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN II), menjawat Pengerusi Mara serta Pengerusi Bernas menyatakan penyakit ini jika tidak diubati dengan ubat Proklamasi Orang Melayu akan menyaksikan malapetaka amat dahsyat.
Dalam penulisan tersebut, beliau menyatakan misi utama Proklamasi Orang Melayu adalah memperkasakan semula keunggulan kuasa politik orang Melayu, umat Islam dan masyarakat peribumi menjelang PRU16.
Kenyataan yang disebutkan beliau ini sebenarnya mengundang lebih banyak persoalan daripada memberi jawapan. Kerajaan yang memerintah sebelum peralihan kuasa pada PRU15 merangkumi majoriti ketara 26 kementerian diterajui oleh orang Melayu, dengan hanya lima dipegang selain bangsa Melayu.
Demografi mereka yang boleh dianggap sebagai mempunyai kuasa dalam menentukan kedaulatan, kemerdekaan dan keselamatan nasional telah sekian lama dan masih dipegang orang Melayu sendiri.
Kuasa mutlak masih milik Yang di-Pertuan Agong. Perdana Menteri dan sebahagian besar Menteri Persekutuan juga di tangan orang Melayu, malah dalam ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), jumlah pegawai dan anggota bukan Melayu hanya mencapai purata kira-kira 20 peratus sahaja.
Selain itu, daripada 20 peratus tersebut, sebahagian besar mereka adalah dari bangsa peribumi, oleh itu jumlah golongan yang dianggap tidak perlu mengambil ubat ‘Proklamasi Orang Melayu’ menjadi bertambah kerdil.
Kita perlu bermuhasabah bahawa selepas merdeka, tidak ada konflik bila mana Melayu membunuh dan Melayu terbunuh selain dari peristiwa berdarah Memali pada tahun 1986.
Siapakah memerintah dan siapakah pembangkang ketika itu?
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca