DUNIA ini banyak helah dan muslihat. Termasuklah orang yang kerjanya menyebar ilmu pengetahuan.
Di Thailand baru-baru ini, dilaporkan terdapat 33 orang ahli akademik yang menipu dengan membayar untuk nama mereka diletakkan dalam kertas penyelidikan. Tentunya ia adalah kerja orang lain. Terdapat juga 100 pensyarah lain sedang disiasat.
Di Rusia dua tahun lalu, dilaporkan lebih 800 kertas penyelidikan telah ditarik balik kerana banyak sebab. Antaranya memasukkan nama sebagai penyelidik bersama walaupun tak menyumbang apa-apa.
Kelihatannya walaupun ilmu itu asasnya ialah kebenaran, tetapi kini orang tidak malu-malu lagi. Dengan tekanan universiti di seluruh dunia yang memerlukan pensyarah menerbit penyelidikan mereka, muncul pula apa yang diistilahkan sebagai ‘kilang kertas’.
Ia industri baharu untuk memudahkan ahli akademik mengupah organisasi atau individu bagi menghasilkan tulisan bagi tujuan penerbitan. Wang kelihatannya mampu membeli apa sahaja.
Di celah-celah kecurangan ghairah ingin menjadi sarjana ini, muncul pula ribuan jurnal palsu yang biasanya menerbit apa sahaja kajian tanpa dilakukan proses penilaian yang sewajarnya.
Jika ada pun, ia bukanlah penilaian ilmu. Ia sekadar dijadikan helah kononnya ia adalah jurnal tulen yang melakukan kerja saringan teliti. Yang utama untuk membolehkan penerbitan ialah membayar.
Pada tahun 2018, The Guardian melaporkan, terdapat lebih kurang 175,000 artikel akademik sebenarnya diterbitkan oleh penerbit palsu, yang antaranya beroperasi di India dan Turki.
Pada April 2019, OMICS Group telah didenda sebanyak 50 juta dolar Amerika kerana menjalankan kerja-kerja tidak jujur ini. Antaranya mendakwa melakukan proses pewasitan yang sebenarnya tak dilakukan dan menyenaraikan nama sidang editor tanpa pengetahuan individu terbabit.
Motif mana-mana penerbit meragukan ini juga mudah. Sebagaimana operasi mereka juga diragui, mereka juga tak ragu-ragu menerbitkan apa sahaja, sekalipun kajian yang meragukan.
Walaupun ada jurnal berkualiti yang mengenakan caj penerbitan, tetapi ada ribuan jurnal yang tak mengenakan bayaran untuk penerbitan.
Kebanyakannya percuma kerana biasanya jurnal berkualiti ini boleh mendapat pulangan kewangan daripada langganan universiti dan agensi penyelidikan seluruh dunia.
Tetapi keghairahan untuk dilihat aktif menerbit, dan dilihat bijak, maka manusia sanggup melakukan apa sahaja. Lebih teruk, ada yang misalnya mengaku pakar bidang pengurusan, tapi ‘menumpang' menulis bidang perubatan, dan terbit pula di jurnal arkeologi.
Tidaklah diketahui jika ada orang yang bijak serba-serbi atau mungkin bijak memanipulasi sahaja.
Dalam apa pun situasi, ia memberikan musibah kepada orang awam.
Bayangkan jika seseorang penyelidik perubatan melaporkan kajian palsu yang kemudiannya diguna dan dipercayai pula oleh pakar perubatan di hospital.
Berapa ramai yang akan mati atau mendapat risiko. Bayangkan pula ‘pakar’ yang tak tahu apa-apa diminta nasihat tertentu. Berapa ramai yang mungkin tersesat dengan pandangannya.
Bahaya kedua, kerana banyaknya menerbit, ahli akademik yang kononnya ‘hebat’ ini mungkin dilantik menjadi orang penting dalam masyarakat. Mereka juga mengajar di universiti. Mereka menjadi orang yang selalu dirujuk.
Dalam semua keadaan, kelihatannya Asia dan Afrika merupakan lubuk ilmu meragukan ini. Di Asia, selain China, India, Pakistan dan Iran, Malaysia juga antara yang disebut. Ia disebut dalam banyak kajian.
Mungkin ada yang berkata, penerbitan ini tak penting. Sebenarnya tidak. Penerbitan ini diperlukan untuk kita menyampaikan pengetahuan ke seluruh dunia.
Dan proses penilaian sebelum penerbitan inilah membolehkan ilmu penyelidikan disaring sejauh mana ia menghampiri kebenaran.
Dalam bahasa ilmunya, inilah empirikal. Dengan hanya dinilai oleh kelompok sarjana jujur dunia yang lain, kita dapat tahu di mana posisi kita.
Tetapi sebagaimana ‘hebat’ sekalipun, yang palsu tetap diketahui palsunya. Seperti ibarat, ‘ayam jantan kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.
Biarlah ia berlaku di negara lain, bukan di negara kita. Harapnya begitulah.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca