TUN Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 ketika berusia 94 tahun pada tahun 2018.
Beliau merupakan Perdana Menteri tertua di dunia ketika itu. Itu merupakan kali kedua beliau menduduki tempat itu, kali pertama selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.
Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang yang kedua paling tua dilantik sebagai PM. Beliau berusia 75 tahun ketika mengangkat sumpah sebagai PM ke-10. Pada 10 Ogos ini, genaplah usia beliau 76 tahun.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM pada usia 73 tahun, Tun Abdullah Ahmad Badawi berusia 64 tahun pada tahun 2003, sementara Datuk Seri Ismail Sabri berusia 61 tahun apabila mengambil alih daripada Muhyiddin pada 21 Ogos 2021.
Tun Abdul Razak Hussein masih memegang rekod orang paling muda menjadi PM pada tahun 1970, waktu itu beliau berusia 48 tahun.
Tun Hussein Onn berusia 54 tahun pada tahun 1976, begitu juga usia Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman apabila menjadi PM pertama pada tahun 1957. Anak Tun Razak, Datuk Seri Najib menjadi PM pada usia 56 tahun pada tahun 2009.
Dari segi demografik, Anwar, Muhyiddin, Ismail dan Abdullah hanya mewakili 7 peratus penduduk negara ini. Bagi Dr Mahathir sewaktu menjadi PM kali ke-dua, hanya 0.3 peratus rakyat negara ini yang seusia dengan beliau.
Ada pandangan yang mengatakan bahawa kita sedang menuju situasi gerontocracy. Secara mudah maknanya negara sedang dipimpin oleh orang-orang tua.
Dari satu segi ada kebenarannya hal itu. Di banyak negara lain, kecenderungannya adalah untuk meletakkan ‘orang muda’ pada kedudukan paling tinggi.
Hari ini semakin banyak pemimpin yang berusia di bawah 40 tahun. Burkina Faso, sebuah negara di Afrika dipimpin oleh Ibrahim Traore yang berusia 35 tahun.
Presiden Chile, Gabriel Boric baru berusia 36 tahun. Montenegro mempuyai PM yang berusia 37 tahun bernama Dritan Abazovic.
Sanna Marin kini berusia 37 tahun. Beliau merupakan wanita pertama menjadi PM Finland. Usianya 34 tahun ketika diberikan amanah itu dan mencatatkan rekod sebagai PM termuda dalam sejarah negara itu.
Putera Mahkota Mohammed bin Salman dari Saudi Arabia juga berusia 37 tahun. Presiden Chad, Mahamat Deby berusia 39 tahun.
Mali, Georgia, Kosovo, Turkmenistan dan El Salvador mempunyai pemimpin berusia awal 40-an. Perdana Menteri New Zealand yang sangat dihormati, Jacinda Ardern kini berusia 42 tahun dan dalam proses melepaskan jawatannya sebagai PM. Beliau lahir pada 26 Julai 1980. Umurnya 37 tahun apabila menjadi PM pada tahun 2017.
Usia belum tentu menunjukkan kemampuan. Begitulah hujah banyak pihak. Kedudukan paling tinggi dalam mana-mana negara menuntut pengalaman dan kematangan.
Maka itu banyak juga yang berpendapat bahawa usia terbaik menjadi Presiden atau PM adalah 60-an. Namun demikian, berdasarkan rekod banyak negara yang memberi peluang pada generasi muda, hal itu tidak selalunya betul.
Amerika Syarikat (AS) memilih Joe Biden (77) sebagai Presiden yang ke-46 pada tahun 2021. Beliau merupakan orang paling tua pernah dilantik ke jawatan itu. Hari ini beliau jelas memperlihatkan tanda-tanda orang nyanyuk.
Namun demikian beliau masih mengharapkan akan dipilih semula sebagai Presiden AS dalam pilihanraya presiden tahun depan. Usianya akan menjadi 80 tahun.
Sebelum itu, Donald Trump sudah berusia 71 tahun apabila menjadi Presiden pada tahun 2017. Rekod Presiden paling muda bagi AS adalah John F. Kennedy yang ditabalkan pada umur 43 tahun pada bulan November 1960.
Berdasarkan demografik global, 25 peratus daripada hampir 8 bilion penduduk Bumi adalah mereka di bawah 15 tahun.
Bagi yang berusia 15 hingga 64 tahun bilangannya adalah 65 peratus. Pada masa ini pertambahan jumlah penduduk dunia hanya pada kadar 1.14 peratus. Kadar kesuburan sudah lama berkurang khususnya bagi negara-negara maju.
Menurut Laporan Parlimen Global, terdapat 46,552 ahli Parlimen di seluruh dunia. Secara purata terdapat 245 orang ahli Parlimen bagi setiap negara.
China mempunyai 3,000 orang ahli Parlimen sementara Micronesia hanya 14. Terdapat 8,716 ahli Parlimen wanita atau sekadar 19.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.Secara purata usia ahli Parlimen ialah 53 tahun.
Berita baiknya bagi Malaysia, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada bulan November tahun lalu, pengundi memberikan lebih banyak peluang pada ahli Parlimen di bawah 50 tahun.
Jumlah mereka meningkat kepada 84 orang atau 37.8 peratus daripada 222 orang yang terpilih. Pada PRU itu juga, mereka yang berusia 50 tahun ke atas menyusut sebanyak 9 peratus.
Dalam konteks ini, umur median ahli Parlimen juga menurun sedikit kepada 52.4 tahun berbanding 53.4 dalam PRU-14.
Akibat ketiadaan Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah, tidak ada lagi ahli Parlimen yang berusia 80 tahun ke atas. Ahli Parlimen paling tua adalah Fong Kui Lun dari Bukit Bintang yang berusia 76 tahun.
Dalam PRU ke-15 juga mencatatkan lebih 20 orang ahli Parlimen yang berusia kurang dari 40 tahun. Dua daripada mereka berusia 26 tahun, yakni Dr Taufiq Johari (Sungai Petani) dan P. Prabakaran (Batu). Syed Saddiq Abdul Rahman dari Muar baru berusia 29 tahun.
Beliau pernah mencatat sejarah sebagai menteri paling muda pernah dilantik sewaktu kerajaan Tun Mahathir.
Daripada 12 orang ahli Parlimen di bawah 35 tahun, tiga adalah wanita. Namun demikian kali ini terdapat penurunan bilangan ahli Parlimen wanita dari 32 menjadi 30.
Anwar juga mengambil langkah positif memberi peluang pada generasi muda menjadi menteri. Sebelas orang dalam kabinet beliau berusia di bawah 50 tahun, yang paling muda Nik Nazmi Nik Ahmad, 41, yang merupakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Apa yang lebih penting adalah mempersiapkan generasi pemimpin masa depan negara. Proses ‘memudakan’ Dewan Rakyat dan pimpinan tertinggi negara harus berjalan dari sekarang.
Pemimpin muda harus diberikan pendedahan dan peluang sewajarnya untuk meningkat lebih tinggi demi masa depan negara.
* Tan Sri Johan Jaaffar adalah tokoh Wartawan Negara.
Klik di sini untuk terus membaca