AHAD lalu, saya dan teman-teman penulis mengadakan sesi sembang Buku dan Kopi.
Pertemuan santai anjuran kedai buku Iqraread itu diadakan tiga minggu sekali.
Sambil mengunyah kuih bangkit, kami berbicara mengenai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang bakal menjelang 26 Mei ini.
Selain mengimbau pesta buku 2022 yang dikatakan mendapat sambutan paling hangat, kami semua bersetuju pesta buku tahun ini juga akan mendapat sambutan tidak kurang hebatnya.
Ditambah pula dengan acara Cosplay @PBAKL, bersedialah untuk bersesak dan berasak.
Ada satu perkara menarik perhatian kami ketika berbincang mengenai tema tahun ini.
Oleh sebab kami bernaung daripada pelbagai syarikat, kami telah sepakati karya yang mempunyai unsur-unsur healing menjadi pilihan beberapa buah syarikat penerbitan.
Maknanya, dalam karya-karya diterbitkan, unsur healing dijadikan mesej atau subteks.
Nampaknya syarikat penerbitan buku peka dengan buzzword – perkataan atau frasa yang menjadi sebutan ramai pada satu-satu masa. Buzzword boleh menjadi faktor pelaris.
Ketika ini, perkataan healing menjadi buzzword. Bercuti tidak disebut sebagai berehat tetapi healing.
Melancong bukan juga berekreasi tetapi healing. Makan sedap-sedap pun, bukannya berjamu tetapi healing juga.
Pihak penerbit kini lebih peka menggunakan apa juga perkataan atau peristiwa popular pada satu-satu masa.
Contohnya, Kumpulan Karangkraf menggunakan imprint K-Lit iaitu singkatan daripada Karangkraf Literature.
Huruf ‘K’ juga adalah singkatan karya-karya dari Korea seperti K-Drama dan K-Pop. Ada sublime ‘Korea’ dengan penggunaan huruf ‘K’ di situ.
Buzzword juga sudah lama ada dalam kalangan rakyat Malaysia. Tidak lama dahulu, netizen menggunakan buzzword move on sebagai istilah motivasi untuk mereka yang tidak boleh melupakan kisah lalu.
Sesekali juga istilah play victim menjadi buzzword untuk menegur mereka yang berpura-pura jadi mangsa keadaan, sedangkan merekalah pencetus angkara.
Dalam dunia artis, kini timbul buzzword ‘penyondol’ iaitu gelaran mereka yang merampas kepunyaan orang lain.
Kita ada buzzword ‘sakau’ khususnya dalam dunia politik untuk menggelar mereka yang dikatakan mencuri duit.
Tidak tahu bagaimana perkataan ‘sakau’ itu diertikan sebagai mereka yang songlap duit.
Carian dalam Kamus Dewan di internet tidak menemui perkataan ‘sakau’ tetapi dalam bahasa Indonesia, ‘sakau’ bererti seseorang yang kecanduan.
Kita tentu ingat buzzword ‘mengancam’ bagi menggambarkan seseorang yang jelita. Juga ‘meracun’ untuk menggantikan perkataan mempengaruhi.
‘Ada umph’ pula istilah diambil daripada iklan Teh Boh yang membawa maksud ‘hebat.’
Sekitar 1970-an ada frasa ‘steady-lah’ yang membawa maksud ‘come on-lah.’
Istilah ‘steady-lah’ mula-mula diperkenalkan oleh artis Datuk Ahmad Daud melalui rancangannya Ahmad Daud Show.
Ramai masih ingat buzzword ‘merah sangatlah mak ngah’ iaitu usikan kepada wanita yang khususnya cantik bila berpakaian merah. Ia diambil daripada iklan Amanah Saham Nasional.
Jika orang Barat menggunakan perkataan tall, dark and handsome untuk lelaki kacak, di negara kita ada frasa ‘besar, teguh dan peramah’ yang dipopularkan daripada iklan bank Standard Chartered.
Buzzword adalah satu trend. Kita tidak tahu asal usulnya tetapi tiba-tiba ia jadi sebutan ramai.
Media sosial kini menjadi pangkalan munculnya penggunaan buzzword kerana ia mudah menular.
Satu perkataan buzzword sahaja boleh merumuskan maksud satu ayat. Ia menjimatkan masa untuk memahami satu-satu hal.
Dalam dunia profesional pun ada buzzword yang disebut sebagai jargon.
Jargon seperti big data, gig economy, disruptive technology atau low hanging fruit adalah jargon terkini yang kerap digunakan.
Buzzword tidak begitu bahaya melainkan jika ia digunakan untuk mengutuk atau mempersenda.
Penggunaannya oleh seseorang menggambarkan dia ialah orang yang moden dan semasa. Ia adalah stail dalam berkomunikasi. Ia juga bagai fesyen dalam bahasa.
Betapa pun, satu-satunya buzzword yang tak mungkin hilang daripada sebutan kita semua ialah ‘assalamualaikum’.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca