BANYAKLAH kita lihat, baca dan dengar kisah pengguna motosikal tak hormati peraturan jalan raya, khususnya lampu isyarat. Bukan itu sahaja, mereka juga tak hormat laluan pejalan kaki.
Pada masa ini, banyak pengguna motosikal tak peduli larangan guna Lebuhraya Persekutuan misalnya. Sedangkan sudah disediakan laluan motosikal untuk mereka.
Awang cadangkan polis trafik buat operasi besar-besaran tangani isu yang semakin menjadi-jadi ini. Letakkan petugas di laluan sibuk yang ada lampu merah.
Catatkan berapa banyak kesalahan pengguna jalan raya yang tak hormati lampu merah. Saman mereka serta-merta atau bagi amaran keras.
Awang faham polis trafik kita sibuk. Nak jaga kesesakan jalan raya lain, nak jaga laluan VIP lain. Tapi keadaan keselamatan jalan raya perlu juga diberikan keutamaan.
Nampaknya kempen keselamatan jalan raya tak aktif macam dulu. Mungkin Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) tak ada peruntukan secukupnya.
Berdasarkan perangkaan PDRM sendiri, dari bulan Januari hingga September 2022, terdapat 402,626 kes kemalangan jalan raya di Malaysia. Daripada jumlah itu, tercatat 4,378 kematian.
Secara purata dalam masa sembilan bulan itu terdapat 44,700 kes kemalangan dan 486 kematian setiap bulan. Ini bermakna 1,490 kemalangan atau 16 kematian sehari. Sebahagian besar mereka adalah pengguna motosikal.
Kesannya pada ekonomi dan keluarga terlalu mahal.
Klik di sini untuk terus membaca