"KERAJAAN sepatutnya mengehadkan kelahiran kepada satu atau dua orang anak sahaja bagi setiap keluarga."
"Sebab?" Saya bertanya.
"Banyak. Terlalu ramai penduduk akan menjadi beban kepada negara dan blablablabla...,” hampir seminit setengah dia membentangkan hujah dan saya hanya mendengar.
"Lagi?” saya terus bertanya.
"Ekonomi keluarga. Sebuah keluarga yang sedikit anak lebih mudah mengukuhkan kedudukan ekonominya berbanding banyak anak...blablablabla....”
Saya terus mendengar. Dia pula terus beria-ia menghujahkan sebab. Tetapi hati kecil saya berkata, itu bukan sebab sebenar. Ada sebab lain. Saya tunggu.
"Kadangkala kita tidak sedar masalah dibawa oleh kelahiran yang tidak terkawal,” katanya.
"Contoh?” saya bertanya lagi.
"Saya sendiri mempunyai lapan adik beradik. Kecuali saya yang belum ada anak, tujuh yang lain, masing-masing mempunyai antara empat hingga enam anak. Kesemua sekali anak saudara saya berjumlah 34 orang. Semasa Aidilfitri baru-baru ini, saya terpaksa menyediakan RM1,700 duit raya untuk mereka iaitu RM50 didarab 34.
"Bayangkan kalau anak saudara saya hanya tujuh orang, maknanya saya hanya perlu keluarkan RM350 untuk mereka. Baki RM1,350 lagi boleh digunakan untuk macam-macam tujuan lain,” jelasnya.
Dan secara spontan saya tahu itulah sebab sebenar kenapa rakan saya itu tiba-tiba bercakap tentang perlunya kadar kelahiran dikawal. Dari dahulu lagi saya perhatikan setiap kali lepas raya pasti akan ada orang yang hilang kewarasannya buat seketika.
Saya tertarik untuk berkisah tentang dasar mengehadkan kelahiran kerana secara kebetulan, kira-kira seminggu sebelum bertemu kawan yang di atas, ada seorang kawan lain bercakap mengenai perkara sama walaupun dengan sebab dan hujah berbeza.
"Bila kelahiran tidak dikawal, jumlah penduduk bertambah. Persaingan meningkat, permintaan terhadap apa sahaja akan menjadi lebih tinggi, pasaran sukar dikawal, masalah sosial bertambah,” itu antara hujahnya tetapi saya tahu itu juga bukan sebab sebenar.
"Kerana kelahiran tidak terkawallah jalan raya semakin hari semakin sesak. Cuba tengok Nauru, Tuvalu, Palau. Jalan raya di sana lapang dan tenang sebab penduduknya sedikit. Mereka tidak perlu habiskan masa di jalan raya. Tak macam kita, sehari berjam-jam habis di dalam kereta,” katanya dan saya pasti itulah sebab sebenar.
Saya faham. Dia bekerja sebagai pemandu. Jalan sesak bagi seorang pemandu samalah macam hujan bagi penoreh getah atau bazar pakaian wanita bagi seorang suami.
Kepada kedua-dua rakan itu, saya berikan reaksi balas lebih kurang sama. Saya ingatkan mereka, idea adalah satu perkara, melaksanakannya perkara yang lain dan yang lebih lain adalah memastikan ia berjaya mencapai apa dihasratkan.
China pernah menggerakkan dasar satu anak yang diperkenalkan Deng Xiaoping pada 1979. Tujuannya untuk mengurangkan masalah sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Mereka yang melanggar dasar itu dikenakan hukuman, jika kakitangan kerajaan, dipecat. Pekerja swasta dan orang awam pula didenda. Nasib mentimun di mana-mana pun begitu.
Bagi geng durian, mereka melanggar sekatan itu dengan berkahwin di luar negara, menetap atau berulang alik ke negara tersebut dan ‘mengusahakan’ anak seramai mana yang mereka mahu.
Kesan dasar itu juga mencetuskan pelbagai masalah lain, antaranya ketidakseimbangan nisbah lelaki dan wanita serta kekurangan tenaga kerja.
Akhirnya pada 2015, dasar itu ditamatkan secara rasmi dan setiap keluarga dibolehkan mempunyai dua anak.
Dasar itu juga berubah lagi - ia kemudiannya tertakluk kepada undang-undang wilayah.
Ada wilayah membenarkan sehingga tiga anak dan pada Januari tahun ini, wilayah Sichuan memansuhkan sama sekali undang-undang mengehadkan bilangan anak.
Dasar mengehadkan bilangan anak turut dilaksanakan di beberapa negara lain.
Singapura, India, Mesir, Iran, Myanmar dan Vietnam misalnya, mengehadkan bilangan anak kepada dua orang tetapi hasilnya tidaklah seperti diharap.
Ia menyelesaikan sejumlah masalah, namun membuka pintu kepada banyak masalah lain.
Jadi, saya beritahu kawan-kawan saya itu, dalam soal beranak-pinak, janganlah kita terlebih memandai.
Jangan terpesona dengan idea dan dasar baharu sehingga menyanggah tuntutan agama yang mahu kita membanyakkan umat.
Jangan juga lupa kepada janji ALLAH bahawa setiap anak itu ada rezekinya.
Yang menjadi masalah bukan tentang jumlah anak tetapi bagaimana anak itu dibentuk. Ramai orang yang miskin harta dan banyak anak tetapi hidupnya tenang dengan kesemua anaknya berjaya.
Ada juga orang banyak harta, tiada anak tetapi hidup tunggang-langgang.
Jadi pesan saya lagi, jangan takut beranak banyak walaupun jangan berani sangat beristeri banyak...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca