[EKSKLUSIF] KUALA LUMPUR - Kunci utama kestabilan hubungan 19 parti dalam koalisi tidak rasmi, Kerajaan Perpaduan untuk jangka masa panjang adalah dengan memastikan mana-mana parti tidak menyuburkan sifat ‘tuan dan hamba’ ketika menentukan fungsi dan peranan masing-masing dalam kerajaan.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, faktor paling penting pengikat kestabilan hubungan parti-parti dalam kerajaan baharu ini adalah dari aspek masing-masing dapat saling menghargai antara satu sama lain terutama dari sudut hubungan antara kelompok parti yang mempunyai kerusi majoriti dan minoriti di Parlimen.
Ujarnya, setiap parti terlibat dalam Kerajaan Perpaduan mengetahui pembentukan kerajaan hari ini adalah hasil proses penyatuan kerjasama politik yang saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.
"Paling penting dari segi kita dapat saling menghargai antara satu sama lain, jangan ada sifat merasakan bahawa ada masters and slaves (tuan dan hamba) dalam menentukan hubungan antara kelompok parti mempunyai bilangan kerusi majoriti dan minoriti.
"Bilangan apa pun kita bicarakan, bilangan kecil itu kalau tidak melengkapkan kepada bilangan yang besar, tidak akan membolehkan pembentukan kerajaan hari ini.
"Oleh kerana itu, saya dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN menghargai penghargaan diberikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan kepentingan kebersamaan serta kesediaan BN menjadi sebahagian pembentukan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di pejabatnya di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas faktor-faktor penting yang perlu diberi pertimbangan oleh 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengukuhkan ‘gam’ kerjasama politik dijalin ketika ini untuk dikekalkan melangkaui tempoh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam pada itu, Zambry yang juga Menteri Luar juga menyorot kembali peristiwa bersejarah terbentuknya Kerajaan Perpaduan di mana sokongan 30 ahli Parlimen BN kepada 82 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pencetus kepada keterbukaan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) dan parti-parti rakan lain.
"Perdana Menteri tahu, tanpa dukungan 30 ahli Parlimen BN, tentunya agak sukar kerajaan hari ini terbentuk.
"Asasnya, kita kembali kepada bagaimana usaha membentuk kerajaan pada peringkat awal, daripada 82 ahli Parlimen PH, disokong pula 30 ahli Parlimen BN menjadi 112 ahli Parlimen. Kemudian, sokongan BN menyumbang kepada keterbukaan sokongan rakan daripada GPS, GRS, Warisan, Bebas dan parti lain sehingga mencapai bilangan 148 kerusi,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak menafikan kemungkinan terbentuknya satu kerjasama politik lebih kekal di antara 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk jangka masa panjang pada masa hadapan, menyamai semangat pembentukan BN pada tahun 1974.
Jelas Zambry, perkara itu bergantung kepada sejauh mana kesemua parti terlibat dapat menjaga kestabilan politik kerajaan sedia ada selain mempamerkan semangat kerjasama bagi membangunkan negara.
"Kalau ia dapat dijaga dengan baik, bermakna kita mungkin akan dapat bergerak bersama-sama melangkaui kerjasama politik sedia ada.
"Dalam erti kata lain, apa pun bentuk kerjasama dilakukan, yang paling mustahak adalah negara mesti berfungsi dengan asas pembentukan politik yang dapat membentuk kerajaan itu harus ada,” ujarnya.
Zambry turut melihat sejarah pembentukan kerjasama 11 parti yang saling berseteru di dalam koalisi BN pada tahun 1974, akhirnya membawa kepada sejarah pentadbiran kerajaan oleh BN bagi satu tempoh waktu panjang sehingga tahun 2018.
"Kali ini, kita berhadapan satu realiti baharu dan saya rasakan bahawa dengan adanya kerjasama politik tidak rasmi dicatatkan kali ini, ia memungkinkan satu lagi kerjasama politik rasmi baharu ala BN bakal terbentuk.
"Sekiranya koalisi baharu ini dibentuk secara rasmi, kita bukan lagi melihat soal siapa yang akan menerajui kerajaan, tetapi bagaimana kita dapat mengukuhkan persefahaman itu pada masa hadapan.
"Sudah pasti soal siapa peneraju bergantung kepada jumlah kerusi yang akan dipegang dan dimenangi parti masing-masing kelak,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca