SHAH ALAM - Pakar perlembagaan mengemukakan tiga cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan dalam menangani kontroversi penggunaan kalimah ALLAH supaya tidak berulang pada masa akan datang. Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar perlembagaan mengemukakan tiga cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan dalam menangani kontroversi penggunaan kalimah ALLAH supaya tidak berulang pada masa akan datang.

Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, antara cadangan itu adalah setiap ketetapan yang diambil kerajaan mesti dirujuk kepada Majlis Raja-Raja sebelum ia boleh dilaksanakan.

Selain itu, mewujudkan satu perintah atau peraturan yang lebih jelas supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat menguatkuasakan undang-undang dan perlunya untuk kerajaan menyelaraskan peraturan bagi mengawal penyebaran mana-mana ajaran agama lain kepada umat Islam di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Ini kerana katanya, isu kalimah ALLAH adalah perkara sensitif yang perlu ditangani dengan berhati-hati, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi penganut agama lain juga.

"Pertama, oleh kerana dengan kedudukan agama Islam (sebagai agama rasmi), maka perlunya ada rujukan kepada Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu termasuklah dalam soal mengendalikan kes mahkamah yang wujud berkenaan kalimah ALLAH.

"Keduanya, adalah wajar untuk kerajaan menyediakan satu perintah atau peraturan yang lebih jelas supaya KDN dapat menguatkuasakan larangan penggunaan kalimah itu tanpa boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana berdasarkan kes ditarik balik itu, asas keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah dalam soal perintah dikeluarkan kementerian berkenaan dan juga beberapa dokumen.

"Selanjutnya, Perkara 12 dalam Perlembagaan memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan peraturan bagi mengawal penyebaran mana-mana ajaran atau agama lain kepada umat Islam dan setakat ini hanya 10 negeri telah meluluskan peraturan tersebut.

"Tetapi beberapa negeri lain seperti Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang masih belum memperkenalkan undang-undang kawalan itu, jadi sepatutnya semua negeri telah meluluskan pelaksanaan undang-undang tersebut,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengemukakan cadangan yang boleh diambil kerajaan berhubung kontroversi penggunaan kalimah ALLAH yang mencetuskan kemarahan umat Islam ketika ini.

Klik di sini untuk terus membaca