SHAH ALAM - Pelaksanaan ke arah tiga cadangan reformasi institusi dan perundangan negara mungkin akan digerakkan selepas pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 22 dan 23 Mei ini.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, setakat ini usul terhadap pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 masih belum diterima.
Bagaimanapun, beliau percaya usaha ke arah itu akan dimulakan sebaik sahaja jawatankuasa itu lengkap.
"Belum ada lagi usul dihantar kerana Dewan Rakyat akan bersidang bermula 22 Mei ini. Cadangan itu mungkin akan dibuat esok (hari ini) atau selepas jawatankuasa kecil ditubuhkan.
"Cuma pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan berlaku pada 22 dan 23 Mei ini, mungkin selepas itu ia akan dibawa.
"Tentang cadangan reformasi itu, saya tidak boleh komen lagi sebab kena tengok usul dan kerangkanya bagaimana. Kita kena tunggu dan terima (usul),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM)-Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) pada Selasa, menyasarkan tiga cadangan reformasi institusi dan perundangan akan segera dilaksanakan dalam penggal Parlimen ini.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya optimis tiga cadangan tersebut iaitu pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya, reformasi SPRM serta pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dapat dilaksanakan kerana semua cadangan itu kini sudah di peringkat draf.
Menurutnya, kumpulan itu akan memfokuskan tiga perkara utama itu dahulu dalam masa terdekat dan pihaknya telah dan akan menemui pihak berkepentingan bagi merealisasikan perkara berkenaan.
Klik di sini untuk terus membaca