SEBAGAI makhluk paling maju dan kompleks di muka bumi ini, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (pdp) sepertinya satu perkara wajib dalam sejarah ketamadunan manusia.
Jadi tidak hairanlah jika penemuan dokumen tamadun Sumeria lebih 4,000 tahun dahulu juga pernah merekodkan tentang aktiviti pdp yang mana terdapat aduan anak murid kepada gurunya tentang kesukaran topik yang diajar. Ia juga perkara yang berterusan berlaku pada zaman moden hari ini.
Jika kita merujuk kepada theory of mind yang dipraktikkan dalam dunia pendidikan, ia memperkatakan tentang kebolehan manusia untuk memahami dan ‘membaca’ minda individu lain yang diterjemah dalam bentuk amalan pedagogi guru untuk membantu murid.
Sudah tentunya secara logik guru ini wujud hanya dalam kelompok manusia sesuai dengan peranannya sebagai makhluk berakal dan paling maju dalam sejarah evolusi dan ketamadunan. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa adakah guru juga wujud di alam haiwan?
Secara umumnya, anak-anak haiwan seperti cimpanzi, gajah dan biri-biri belajar secara imitation iaitu meniru perlakuan haiwan dewasa dalam proses pembelajaran untuk kemandirian hidup Namun, terdapat teknik yang unik dalam aspek proses pengajaran dan pembelajaran bagi spesies cerpelai atau nama saintifiknya suricata suricatta.
Kajian oleh penyelidik Thornton dan Mcauliffe pada tahun 2006 mendapati bahawa wujud aktiviti pengajaran dalam kelompok cerpelai yang tidak terbatas kepada proses imitation sahaja tetapi cerpelai mengajar anak-anaknya kemahiran secara berperingkat mengikut usia anak-anak tersebut dengan teknik tertentu.
Teknik yang digunakan cerpelai ini hampir sama seperti kaedah pembelajaran masteri yang dipraktikkan dalam bidang pendidikan.
Cerpelai atau nama lainnya meerkat merupakan mamalia yang mendiami gua batu kapur dan membuat lubang-lubang di tanah di kawasan padang rumput terutamanya di negara-negara Afrika Selatan.
Antara makanan utama cerpelai ialah kala jengking. Namun, memburu kala jengking adalah sesuatu yang berbahaya bagi anak-anak cerpelai ini kerana kala jengking agresif dan berbisa. Justeru, kemahiran memburu kala jengking adalah kemahiran yang sangat penting.
Bagaimanakah anak-anak cerpelai diajar untuk memburu kala jengking? Oleh kerana cerpelai adalah haiwan yang hidup dalam kelompok sosial, maka tugas mengajar anak-anak cerpelai bukan sahaja dipikul oleh ‘ibu bapa’ anak-anak cerpelai itu sahaja tetapi tugas itu dikongsi bersama dengan cerpelai dewasa lain yang hidup dalam kelompok yang sama.
Pada peringkat awal iaitu sekitar umur 30 hari, anak-anak cerpelai masih tidak berupaya untuk memburu makanan sendiri. Oleh itu, mereka hanya mengikuti kawanan cerpelai dan diberi makan kala jengking yang telah mati dan dibuang bisanya.
Pada masa yang sama, anak-anak cerpelai diajar untuk mengenal pasti dan memberi respons kepada bunyi-bunyi tertentu atau dikenali sebagai begging call yang dikeluarkan oleh cerpelai dewasa.
Pada kira-kira usia 90 hari, anak-anak cerpelai mula diperkenalkan dengan kala jengking hidup yang telah dibuang bisanya. Cerpelai dewasa membiarkan anak-anak cerpelai ini bermain dengan kala jengking tersebut untuk membiasakannya tetapi dalam pengawasan.
Pada peringkat akhir proses pengajaran, anak-anak cerpelai diajar untuk memburu kala jengking hidup yang berbisa pula.
Cerpelai dewasa didapati mengubah keadaan atau jenis kala jengking mengikut usia dan kemahiran memburu anak-anak cerpelai secara individu dan mengikut keupayaan anak-anak cerpelai tersebut.
Apakah yang boleh kita teladani daripada cerpelai ini? Proses pengajaran dan pembelajaran atau mendidik anak-anak perlu dikongsi bersama dalam komuniti kerana komuniti adalah ‘guru’ sebenar mereka.
Proses pengajaran ini perlukan kesabaran, toleransi, dan komunikasi yang berkesan. Yang paling penting, tiada istilah one size fit all dalam proses pengajaran kerana ia unik bagi setiap anak. Selamat mengajar.
* Dr Nur Izwani Mohd Shapri ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris
Klik di sini untuk terus membaca